Pengakap nafi terlibat kes rasuah anugerah darjah kebesaran

12 hours ago 7

KUALA LUMPUR – Persekutuan Pengakap Malaysia (PPM) menafikan terlibat dalam kes rasuah penganugerahan pingat di Perlis dan memandang serius cubaan mengaitkan organisasi itu dengan kegiatan menyalahi undang-undang.

PPM dalam kenyataan menegaskan, pihaknya tidak mempunyai kaitan dengan penahanan seorang penjawat awam oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan menerima rasuah bagi urusan penganugerahan pingat sebuah pertubuhan beruniform sukarela pada tahun 2024.

“Sehubungan itu, kami menegaskan bahawa istiadat penganugerahan bintang dan pingat yang diadakan di Perlis pada 6 Mac 2024 adalah tanpa pengetahuan, kebenaran atau kelulusan rasmi pihak kami.

“PPM tidak pernah mengiktiraf, meluluskan atau terlibat dalam sebarang penganugerahan tersebut dan tidak tersenarai dalam mana-mana rekod rasmi pingat PPM,” katanya dalam kenyataan hari ini.

PPM turut berkata bahawa tiada sebarang senarai penerima pernah diluluskan dan organisasi itu sama sekali tidak pernah mengeluarkan bintang atau darjah yang menggunakan gelaran ‘Dato’ Setia Pengakap’.

“Selain itu, PPM tidak pernah memberi mandat atau kuasa kepada mana-mana pihak, termasuk mana-mana entiti pada peringkat negeri untuk menganugerahkan sebarang bintang atau pingat bagi pihak organisasi.

“Sebarang penggunaan nama, lambang atau kaitan dengan PPM bagi tujuan penganugerahan tanpa kelulusan rasmi adalah satu penyalahgunaan yang serius dan boleh menjejaskan integriti organisasi,” ujarnya.

PPM juga memberi amaran bahawa tindakan undang-undang akan diambil terhadap mana-mana individu atau pihak yang didapati terlibat dalam penganugerahan tidak sah ini.

“Ia termasuk mereka yang memberi, menerima atau mempromosikan anugerah berkenaan, selaras dengan Seksyen 13 Akta Persekutuan Pengakap-Pengakap Malaysia (Pemerbadanan) 1968, dan jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 14 akta yang sama.

“PPM menyerahkan sepenuhnya kepada SPRM untuk menjalankan siasatan secara menyeluruh, telus dan bebas, serta akan memberikan kerjasama penuh sekiranya diperlukan,” katanya.

Jelas PPM, pihaknya kekal komited untuk mempertahankan integriti, kredibiliti dan nama baik organisasi serta tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk salah laku atau penyalahgunaan nama Pengakap Malaysia.

Terdahulu, Kosmo! melaporkan seorang penjawat awam direman selama lima hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes menerima rasuah kira-kira RM200,000 sebagai habuan menguruskan pemberian pingat dan bintang.

Perintah reman sehingga 13 April itu dikeluarkan Majistret Nurul Natasha Rizal selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Kangar.

Lelaki berusia 57 tahun itu disyaki terlibat dalam urusan mendapatkan darjah kebesaran daripada sebuah pertubuhan kira-kira dua tahun lalu. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |