Penangan Dhurandhar terlaris sepanjang zaman, pelakon naik tocang

4 hours ago 4

FILEM Dhurandhar yang menampilkan barisan pelakon hebat seperti Ranveer Singh, Akshaye Khanna, Arjun Rampal, Sanjay Dutt dan R. Madhavan mencipta sejarah baharu sebagai filem Bollywood terlaris sepanjang zaman.

Mula ditayangkan sejak 5 Disember lalu, filem arahan Aditya Dhar tersebut sudah mengumpul jumlah kutipan sebanyak RM525 juta (US$130 juta).

Kutipan tersebut dijangka bertambah kerana tiada filem besar Bollywood yang ditayangkan dalam waktu terdekat.

Biarpun berdurasi panjang, 3 jam 35 minit serta perlu bersaing dengan filem mega Hollywood, Avatar 3, Dhurandhar tetap berjaya menawan hati peminat filem Bollywood bukan sahaja di India, malah di seluruh dunia.

BINTANG utama, Ranveer Singh melakonkan watak perisik India yang menyamar sebagai gengter di Pakistan.

Dhurandhar mengisahkan tentang perisik yang berasal dari India lakonan Ranveer Singh yang berkelana ke Pakistan untuk belajar tentang selok belok pengganas di sana.

Dia menyamar sebagai pemuda Pakistan dan menggunakan nama Hamza Ali Mazari untuk mengaburi musuh.

Filem Dhurandhar juga menjadi filem yang melonjakkan semula nama Akshaye Khanna ke aras yang lebih tinggi. Lakonannya sebagai ketua mafia dari Pakistan bernama Rehman Dakait menjadi bualan ramai. Malah, dia dikatakan menjadi penyebab penonton berpusu-pusu ke pawagam dek kemantapan lakonannya.

Heroin filem tersebut iaitu Sara Arjun, jelitawan muda berusia 20 tahun kini menjadi kegilaan ramai sehingga digelar The New National Crush dek kecantikan semula jadinya.

PUCUK muda Bollywood, Sara Arjun tiba-tiba menjadi The New National Crush impak keberhasilan Dhurandhar.

Pelakon mula besar kepala?

Kejayaan luar biasa yang sedang diraih oleh filem Dhurandhar dikatakan telah menyebabkan para pelakonnya naik tocang.

Selepas kejayaan Dhurandhar, bintang utamanya, Ranveer Singh dilaporkan menarik diri daripada membintangi filem mega, Don 3 arahan Farhan Akhtar.

Ranveer dikatakan tidak mahu melakonkan watak gangster dalam Don 3 memandangkan watak itu seakan-akan sama dengan filem Dhurandhar. Tambahan pula Dhurandhar bahagian kedua akan ditayangkan pada Mac 2026.

Dia juga dilaporkan meminta bayaran tidak masuk akal selepas kejayaan filem Dhurandhar. Filem Don sebelum ini pernah dibintangi oleh Amitabh Bachchan dan Shah Rukh Khan. Kini penerbit perlu mencari pengganti baharu untuk watak ikonik tersebut.

Bukan sahaja hero Dhurandhar, malah watak antagonisnya, iaitu Akshaye Khanna turut menarik diri daripada membintangi francais Drishyam 3.

Akshaye Khanna dilaporkan menarik diri atas beberapa alasan pelik. Lebih parah dia menarik diri 10 hari sebelum penggambaran bermula.

Akshaye dikatakan meminta bayaran sebanyak 21 crore (sekitar RM10 juta) dan mahu memakai rambut palsu untuk menutup kepalanya yang botak seperti yang dilakukannya dalam Dhurandhar. Watak Akshaye dalam filem tersebut kini diganti dengan Jaideep Ahlawat.

AGAK lama tidak menyerlah di layar Bollywood, Dhurandhar akhirnya mengangkat semula kehangatan nama Akshaye Khanna dengan watak jahat yang cukup memberi impak.
Read Entire Article
Pertanian | | | |