Pemandu lori maut dilanggar treler

4 days ago 12
ANGGOTA bomba mengeluarkan mayat Haradih yang tersepit pada bahagian bawah lori dalam kemalangan di Kilometer 167.5 Lebuhraya Utara Selatan arah utara dekat Tangkak, hari ini. Foto IHSAN BOMBA
  • Oleh FARAHWAHIDA AHMAD
  • 14 Januari 2026, 11:43 am

TANGKAK – Seorang pemandu lori menemui ajal selepas tersepit di bawah kenderaannya dalam kemalangan membabitkan dua buah kenderaan berat di Kilometer 167.5 Lebuh Raya Utara-Selatan (Plus) arah utara di sini, awal pagi hari ini.

Dalam kejadian pada pukul 6 pagi itu mengorbankan nyawa mangsa, Haradih Ajin, 25, yang disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.

Ketua Polis Daerah Tangkak, Asisten Komisioner Roslan Mohd Talib berkata, siasatan awal mendapati kejadian berlaku apabila mangsa berada di belakang lori jenis Hino dipandunya yang berhenti di lorong kecemasan kerana mengalami kerosakan.

“Pada masa yang sama, datang sebuah treler yang dipandu lelaki berusia 34 tahun tidak sempat mengelak lalu merempuh mangsa dan bahagian belakang lori terbabit. Akibat rempuhan itu, mangsa terseret dan tersepit pada bahagian bawah belakang lori Hino,”katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Roslan berkata, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah pada bahagian dada manakala, pemandu treler pula mengalami kecederaan kaki kiri dan kanan.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Tangkak untuk bedah siasat dan kes disiasat Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.-KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |