Pearly-Thinaah enggan terus kecewa

19 hours ago 5

BEREGU wanita No. 1 negara, Pearly Tan-M. Thinaah enggan membiarkan kekecewaan tersingkir di pusingan kedua Terbuka Malaysia 2026 kelmarin mematahkan semangat mereka.

Sebaliknya, pasangan utama negara itu bertekad untuk bangkit menghadapi cabaran Terbuka India yang dijadualkan berlangsung minggu depan.

Pearly menegaskan, kekalahan di laman sendiri itu tidak seharusnya dijadikan alasan untuk terus berasa rendah diri dan menjadikannya pembakar semangat untuk bekerja lebih keras.

Jelasnya, fokus utama adalah melakukan bedah siasat bersama jurulatih bagi memperbaiki corak permainan yang dilihat menjadi punca kegagalan untuk mereka bangkit menewaskan gandingan Indonesia, Febriana Dwipuji Kusuma-Meilysa Trias Puspitasari kelmarin.

“Kalah atau menang itu perkara biasa bagi seorang atlet. Mereka lakukan banyak persediaan dan bermain lebih bagus dan kami perlu terima.

“Untuk kejohanan seterusnya, kami perlu bina semula keyakinan. Jangan sebabkan kekalahan ini kami terus kecewa dan rasa rendah diri.

“Kami perlu lawan semula, balik berbincang dengan jurulatih dan berlatih dengan lebih keras. Apabila keyakinan itu datang, kami akan berjuang lagi,” katanya

Thinaah turut optimis mereka mampu kembali bangkit ke prestasi sebenar meskipun gagal menamatkan kemarau kejuaraan negara selama enam dekad dalam acara beregu wanita pada Terbuka Malaysia sejak Teoh Siew Yong-Rosalind Singha Ang memenangi edisi 1965.

“Sudah pasti kami yakin boleh bangkit daripada kekalahan ini. Saya gembira mempunyai dia (Pearly) di sisi saya. Kami akan terus menyokong dan mengingatkan antara satu sama lain untuk mendapatkan semula rentak,” katanya.

Kekalahan itu merupakan yang pertama buat Pearly-Thinaah ke atas pasangan Indonesia tersebut selepas memenangi empat pertemuan terdahulu, termasuk pada Sukan SEA 2025 di Bangkok, bulan lalu.

Read Entire Article
Pertanian | | | |