‘Patut usia sekarang, faham arahan’ – Azmi reda anak ‘speech delay’

17 hours ago 7

KUALA LUMPUR – Anak lambat bertutur, Azmi Saad yang menghantar puterinya, Khalisa Insyirah, 3, mengikuti terapi percakapan sejak beberapa bulan lalu reda berdepan ketentuan Tuhan.

Vokalis Caliph Buskers itu berkata, setakat ini pemeriksaan awal menunjukkan anaknya berhadapan isu ‘speech delay’, namun berkemungkinan besar turut mempunyai sampingan masalah lain.

“Anak saya belum boleh bercakap lagi yang boleh dikategorikan ‘speech delay’ atau pun mungkin lebih sikit daripada itu. Kami hantar Khalisa mengikuti terapi kerja sejak tahun lalu iaitu seminggu sekali.

“Dua bulan lepas pula kita hantar untuk intervensi awal iaitu sesi berbeza kerana dia belum boleh bercakap lagi. Pakar gunakan cara lain memandangkan dia baru hendak meniru pergerakan.

“Setakat ini ada perkembangan. Kalau nak bercakap, cikgu bagitahu dia kena tiru bunyi dulu. Contohnya, kalau buat bunyi monyet dia meniru bunyi itu,” katanya ketika sesi memperdengarkan lagu baharu, Satu yang merupakan lagu tema drama Mencari Isteri Sempurna di Redbox Karaoke The Gardens baru-baru ini.

Bercerita lanjut, katanya Khalisa juga belum boleh memahami arahan namun sedia mengikut ke mana sahaja jika diajak.

“Sepatutnya pada usia anak sekarang yang sudah hampir tiga tahun dia sudah faham arahan termasuk boleh bercakap.

“Saya dan isteri sama-sama bekerja tetapi kami tetap mencari masa untuk menghantarnya ke terapi walaupun kos agak tinggi.

“Keadaan kami berdua tidak boleh melihat juga menyukarkan untuk melatih anak di rumah seperti menunjuk barang kepadanya, warna atau gambar apa — Jadi, kami ambil inisiatif hantar ke sekolah,” ujarnya.

Begitupun, akui Azmi kos menjalani terapi agak tunggu membuatkan mereka hanya menghantar Khalisa tiga kali seminggu.

“Perbelanjaan menghantar anak ke sekolah bimbingan untuk sesi bulanan mahal. Buat masa ini, kami cuma mampu hantar ke kelas untuk seminggu tiga hari sahaja iaitu Isnin, Rabu dan Jumaat.

“Tempoh pembelajaran pula sehari selama tiga jam. Ini kerana, saya tidak mampu memasukkan Khalisa untuk sesi sepenuh hari kerana isu bayaran.

“Sekarang ini pun sebab sekolah bimbingan itu baru beroperasi dan saya mendapat harga promosi, RM800 sebulan,” katanya.

Pada awal Mac lalu, Azmi berkongsi perasaannya ingin mendengar anak memanggil ayah namun masih belum menjadi kenyataan.

Terdahulu, Azmi dan isteri, Nazira Muhammad menyambut kelahiran Khalisa yang juga anak kedua mereka pada November 2023 iaitu selepas lebih 10 tahun menunggu zuriat.

Mereka mempunyai anak sulung, Allahyarham Khairul Afnan yang lahir pada 27 September 2021, tetapi meninggal dunia pada 30 September 2021 kerana kegagalan fungsi otak. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |