GUA MUSANG – Palang had kenderaan berat di jalan sementara Projek Lingkaran Tengah Utama (LTU) dekat Taman Wangi di sini yang baru sahaja ditukar baharu lapan hari lalu sekali lagi tumbang dirempuh sebuah lori pada awal pagi tadi.
Kejadian kira-kira pukul 2.30 pagi itu melibatkan sebuah lori jenis Isuzu dipandu seorang lelaki berusia 48 tahun yang sedang dalam perjalanan dari Kota Bharu menghala ke Kuala Lumpur sebelum merempuh palang berkenaan.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, kejadian itu menyebabkan struktur palang tersebut patah dan tumbang.
Katanya, sebelum ini, Jabatan Kerja Raya baru sahaja membina semula palang tersebut pada 30 Mac selepas struktur itu dirempuh sebuah lori pada 18 Mac lalu.
“Pemandu lori yang tidak membawa sebarang muatan itu dipercayai terlanggar tiang halangan kenderaan berat menyebabkan struktur berkenaan terbalik dan patah.
“Kemalangan itu tidak melibatkan sebarang kecederaan dan hanya menyebabkan kerosakan pada kenderaan selain kemudahan awam,” katanya.
Choon Foo memberitahu, pengguna jalan raya khususnya pemandu kenderaan berat perlu lebih peka dan mematuhi isyarat lalu lintas bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berulang.
Katanya, kes disiasat mengikut Kaedah 10 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 kerana gagal mengawal kenderaan dan Seksyen 79(2) Akta Pengangkutan Jalan kerana mengabaikan isyarat lalu lintas.
Menurutnya, pemandu boleh dikenakan denda tidak kurang RM300 dan tidak melebihi RM2,000 selain kompaun RM300 bagi kesalahan gagal mengawal kenderaan jika disabitkan kesalahan.
Kosmo! Online sebelum ini melaporkan, gara gara tidak memberi perhatian semasa memandu, sebuah lori merempuh palang penghadang yang dipasang bagi mengelak kemasukan kenderaan berat di laluan sementara Projek LTU dekat Taman Wangi di sini pada 18 Mac lalu.
Dalam kejadian kira-kira pukul 4 pagi itu, palang tersebut tumbang dilanggar sebuah lori membawa muatan pendingin hawa yang dipandu seorang lelaki berusia 57 tahun. – KOSMO! ONLINE

8 hours ago
7

















































