Pahang laksana kerja dari rumah dua hari seminggu

1 day ago 7

KUANTAN – Kerajaan Negeri Pahang mengambil langkah proaktif dengan melaksanakan dasar bekerja dari rumah selama dua hari seminggu secara giliran bagi kakitangannya, berkuat kuasa mulai minggu hadapan.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, langkah itu diambil sebagai usaha meringankan beban kos sara hidup yang semakin meningkat dalam kalangan rakyat ketika ini.

Menurut beliau, keputusan berkenaan dibuat selepas mengambil kira pelbagai cabaran semasa termasuk kesan situasi global yang memberi tekanan kepada kos kehidupan harian.

“Mengambil kira keluh kesah rakyat serta cabaran peningkatan kos sara hidup yang semakin dirasai ketika ini kesan daripada situasi yang berlaku di Timur Tengah, Kerajaan Negeri Pahang mengambil keputusan untuk melaksanakan dasar bekerja dari rumah selama dua hari seminggu secara giliran bagi kakitangan Kerajaan Negeri Pahang, berkuat kuasa mulai minggu hadapan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Wan Rosdy berkata, pelaksanaan dasar itu dilihat mampu membantu mengurangkan perbelanjaan harian rakyat khususnya melibatkan kos perjalanan dan keperluan asas.

“Keputusan ini dibuat sebagai langkah prihatin kerajaan negeri dalam membantu mengurangkan beban kos harian yang terpaksa ditanggung, termasuk kos perjalanan, bahan api, tol, makan minum serta keperluan pengurusan keluarga,” jelasnya.

Dalam masa sama, beliau menegaskan pelaksanaan dasar berkenaan akan dilaksanakan secara terancang tanpa menjejaskan kualiti perkhidmatan kepada rakyat.

“Pelaksanaan dasar ini akan dibuat secara tersusun dan berjadual, tanpa menjejaskan kecekapan operasi dan sistem penyampaian perkhidmatan Kerajaan Negeri kepada rakyat.

“Ketua-ketua jabatan dan agensi akan menyelaras pelaksanaannya berdasarkan keperluan perkhidmatan serta fungsi jabatan masing-masing,” ujarnya.

Beliau turut mengingatkan penjawat awam negeri agar terus mengekalkan tahap disiplin dan produktiviti yang tinggi sepanjang tempoh pelaksanaan dasar tersebut.

“Pada masa yang sama, penjawat awam negeri diharapkan dapat terus mengekalkan disiplin, integriti dan produktiviti yang tinggi sepanjang pelaksanaan dasar ini,” katanya.

Dalam perkembangan sama,beliau berkata, kerajaan negeri turut menggalakkan sektor swasta di Pahang untuk mempertimbangkan pendekatan kerja lebih fleksibel termasuk pelaksanaan kerja dari rumah.

Tambahnya, inisiatif tersebut diyakini mampu memberi kelegaan kepada rakyat selain mewujudkan persekitaran kerja yang lebih seimbang dan responsif terhadap cabaran semasa.

“Dalam semangat yang sama, kerajaan negeri turut menggalakkan pihak swasta, syarikat berkaitan kerajaan (GLC), badan berkanun serta majikan-majikan lain di negeri Pahang untuk mempertimbangkan pendekatan kerja yang lebih fleksibel, termasuk pelaksanaan bekerja dari rumah sekiranya bersesuaian dengan operasi dan keperluan organisasi masing-masing.

“Kerajaan negeri percaya langkah ini mampu memberi sedikit kelegaan kepada rakyat yang bekerja, di samping mewujudkan suasana kerja yang lebih seimbang, produktif dan responsif terhadap cabaran semasa,” ujarnya.

Read Entire Article
Pertanian | | | |