PETALING JAYA – Perkongsian mengenai sikap seorang peniaga yang didakwa mengeluarkan kata-kata kesat terhadap pelanggan mencetuskan kecaman ramai, dengan netizen menyifatkan perbuatan itu boleh ‘menutup pintu rezeki’ sendiri.
Perkara itu dikongsikan oleh pengacara terkenal , Fedtri Yahya di laman Threads yang mendakwa kadang kala niatnya untuk membantu gerai yang kelihatan sepi bertukar sebaliknya apabila disambut dengan bahasa tidak sopan oleh peniaga berkenaan.
“Kadangkala kita mungkin nak membantu gerai yang nampak sepi. Sebaik datang, terdengar jelas suara peniaga mengeluarkan kata-kata kesat,” katanya.
Menurutnya, sikap sedemikian bukan sahaja mengecewakan, malah bertentangan dengan nilai seorang mukmin yang sepatutnya menjaga tutur kata.
“Seorang mukmin bukanlah orang yang suka mencela, melaknat dan berkata kotor. Bukan sekadar aura, ia akhlak. Mungkin pintu rezeki sudah dibuka luas, tetapi lidah kita sendiri yang menguncinya,” katanya.
Perkongsian itu meraih perhatian ramai dengan pelbagai reaksi netizen yang turut berkongsi pengalaman masing-masing berdepan layanan peniaga.
Seorang pengguna, @Azmir7, berkata layanan terhadap pelanggan termasuk cara peniaga berinteraksi dengan anak-anak turut mempengaruhi keinginannya untuk membeli.
“Kita sependapat dalam hal ini. Cara layanan dengan anak pun boleh pengaruhi saya untuk membeli. Kalau peniaga bercakap baik, saya tak keberatan beli lebih, niat sedekah,” katanya.
Dalam pada itu, seorang lagi pengguna, @Solehah.muhamad, menyifatkan aspek bahasa, penampilan dan perbuatan peniaga juga memainkan peranan penting dalam menarik pelanggan.
“Bahasa, pakaian dan perbuatan seperti merokok ketika berniaga boleh buat pelanggan tak selesa. Lelaki berambut panjang, pakai gelang dan cincin pun mungkin buat orang tak singgah. Maaf cakap,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

8 hours ago
5










![[VIDEO] Ustazah direman bantu siasat kes pelajar maut dirempuh depan surau sekolah](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/04/c9ea13f3-9d74-4dd1-a2c6-a6e7a4b7cc69.jpeg)

![[VIDEO] Keranda tepi jalan peringatan buat mat rempit](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/04/WhatsApp-Image-2026-04-13-at-9.52.30-AM.jpeg)


































