Mercun, bunga api bernilai RM200,000 dalam lori dirampas

4 days ago 11
Pelbagai jenis mercun dan bunga api bernilai RM211,650 dirampas PPM di R&R Juru arah Utara, Lebuh Raya Utara - Selatan, semalam.
  • Oleh KOSMO!
  • 14 Januari 2026, 11:19 am

SEBERANG PERAI – Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Satu Pulau Pinang merampas pelbagai jenis mercun dan bunga api bernilai RM211,650 dalam satu operasi intra agensi di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Juru arah Utara, Lebuh Raya Utara – Selatan, di sini semalam.

Rampasan itu dilakukan kira-kira pukul 2 petang semalam hasil maklumat awam berkaitan aktiviti pengedaran mercun dan bunga api tanpa permit yang sah, menerusi operasi bersama Unit D9, Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah (IPD SPT).

Menurut Pemangku Komander Pasukan Polis Marin Wilayah Satu Pulau Pinang, Superintendan Fakharuddin Amri Sanusi pemeriksaan ke atas sebuah lori bonded mendapati kenderaan tersebut membawa sejumlah besar kotak disyaki mengandungi mercun dan bunga api pelbagai jenis.

”Seorang lelaki tempatan berusia 56 tahun ditahan bagi membantu siasatan selepas gagal mengemukakan sebarang lesen atau permit sah untuk penyimpanan bahan letupan,” katanya hari ini.

Katanya, hasil rampasan melibatkan 206 kotak mercun dan bunga api dianggarkan bernilai RM131,650 selain sebuah lori bonded lima tan bernilai kira-kira RM80,000, menjadikan jumlah keseluruhan rampasan RM211,650. Kes disiasat di bawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957.- KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |