Manipulasi lesen barangan kawalan antara enam taktik penyeludupan barang subsidi

17 hours ago 7

RANTAU PANJANG – Kegiatan memanipulasi Lesen Runcit Barang Kawalan Berjadual (CSA) merupakan antara enam modus operandi yang dikenal pasti digunakan sindiket untuk menyeleweng dan menyeludup barangan bersubsidi negara termasuk petrol dan diesel.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, hasil risikan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mendapati, kegiatan tersebut berlaku di peringkat depoh atau stesen minyak.

Menurutnya, taktik kedua yang dikenal pasti adalah terdapat pihak ketiga yang tidak mempunyai lesen membeli bekalan secara berulang kali sebelum menyimpannya melebihi had ditetapkan, khususnya diesel bersubsidi untuk nelayan.
“Selain itu, sindiket juga dipercayai mencampurkan pelbagai bahan petroleum termasuk yang bersubsidi di kawasan perairan di seluruh negara untuk dijual semula pada harga yang tinggi.

“Penyeludup juga melakukan aktiviti ‘bunkering’, yang juga melibatkan pencampuran pelbagai produk petroleum termasuk bahan bersubsidi sebelum dijual semula bagi meraih keuntungan lebih tinggi,” katanya ketika ditemui pemberita selepas meninjau kawasan sempadan Malaysia-Thailand di Sungai Golok berhampiran pangkalan haram Pasir Ajib, Tok Deh di sini hari ini.

Armizan memberitahu, sindiket turut menggunakan taktik pemalsuan dokumen dengan memanipulasi jumlah pembelian, selain menyembunyikan bekalan dalam kuantiti besar bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

Menurutnya, taktik terakhir yang dikesan melibatkan mekanisme pengagihan subsidi nelayan yang dieksploitasi oleh pihak tidak bertanggungjawab untuk mengaut keuntungan.

“KPDN akan mempergiat Ops Tiris 4.0 bagi membanteras ketirisan dan penyeludupan bahan petroleum yang semakin berisiko susulan konflik global khususnya di Asia Barat.

“Operasi bersepadu itu melibatkan kerjasama pelbagai agensi penguatkuasaan termasuk Polis Diraja Malaysia terutamanya Pasukan Gerakan Am dan agensi berkaitan lain,” ujarnya.

Beliau berkata, langkah tersebut diperkukuhkan menerusi penubuhan Jawatankuasa Tertinggi Penyelarasan Antara Agensi Penguatkuasaan (JTPAP) yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.

Menurutnya, Ops Tiris 4.0 dilaksanakan secara menyeluruh melibatkan tiga kluster utama iaitu di daratan, kawasan sempadan termasuk perairan bagi mengekang aktiviti penyeludupan dan penyelewengan bahan petroleum.

“Mesyuarat susulan jawatankuasa itu dijadualkan pada 6 April ini sebelum pengumuman lanjut dibuat bersama Menteri Dalam Negeri,Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berhubung perkembangan operasi berkenaan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |