Madam Ang masih bertenaga, sambut ulang tahun ke-103

1 week ago 12

GEORGE TOWN – Siapa sangka dalam usianya yang sudah mencecah 103 tahun, warga emas, Ang Kim Choo kelihatan masih bertenaga selain mempunyai semangat setia kawan yang tinggi, tanpa mengira bangsa dan agama.

Dia yang merupakan bekas anggota polis semasa zaman darurat berkata, mempunyai pemikiran yang positif, berkasih sayang dan bersikap lebih terbuka menjadi kunci utama dia kekal sihat sehingga ke hari ini.

Menurut nenek kepada 12 cucu itu, pengalaman berkhidmat sebagai Konstable Khas (SC) selama hampir enam tahun bermula 1 April 1954 sehingga 1 Jun 1960 begitu mengajarnya tentang erti kehidupan sebenar.

“Sampai ke hari ini, saya masih berkawan dengan semua bangsa, tidak kira Melayu, India dan Cina. Meskipun sudah tidak mampu mendengar dengan jelas tetapi saya mampu kenangkan pengalaman hidup terutama ketika membesarkan lima anak.

“Saya bersyukur kerana mampu menjalani kehidupan seperti biasa sampai ke hari ini, masih boleh berjalan walaupun dengan bantuan tongkat dan masih jelas penglihatan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada majlis sambutan hari lahirnya yang diadakan di Bukit Jambul di sini, malam tadi. Majlis tersebut dianjurkan Pengerusi Kelab Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Datuk Seri Johnny Ch’ng Ewe Gee.

Cerita Kim Choo lagi, dia tidak menafikan amalan pemakanan yang sihat seperti daging dan sayur-sayuran juga menjadi faktor utama dia berjaya mengekalkan tahap kesihatannya dengan baik.

“Saya cuma ada penyakit darah tinggi. Semua masakan Melayu, Cina dan India saya makan. Paling suka kuih pencuci mulut.

“Kita di Malaysia masih boleh berseronok kerana macam-macam boleh buat dan makan. Kita kena bersyukur kerana negara kita aman dengan rakyatnya yang berbilang kaum,” ujarnya.

Dalam pada itu, Kim Choo juga pernah mengambil upah bekerja sebagai pembantu rumah di kediaman yang dihuni oleh keluarga British.

Sementara itu, anak sulung Kim Choo, Yeoh Saw Gaik, 83 pula berkata, dia berasa begitu bertuah kerana masih diberi peluang menyambut hari kelahiran ibu kesayangannya itu.

“Ibu tinggal dengan saya di Dato Keramat. Walaupun pendengarannya kurang jelas tapi dia masih jaga disiplin dengan kami, anak-anak dan cucu di rumah.

“Dulu dia memang banyak berkorban tenaga, mencari nafkah untuk besarkan anak-anak. Kami bangga dengan pengorbanan yang dipikulnya seorang diri. Saya nekad buat yang terbaik untuk dia,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |