Lelaki wasiat harta RM176 juta kepada isteri muda, mantan ‘makan hati’

8 hours ago 8

BEIJING – Seorang lelaki di China menjadi perhatian pengguna media sosial kerana mewasiatkan kekayaan bernilai 300 juta yuan (RM176 juta) kepada isteri baharunya yang berusia 28 tahun lebih muda daripadanya, sehingga mencetuskan pertikaian dengan keluarga bekas isteri pertama, lapor portal berita South China Morning Post.

Lelaki berusia 61 tahun dari wilayah Hainan dan dikenali sebagai Hou itu dilaporkan meninggalkan semua kekayaannya kepada Liyuan, 33.

Hou yang kini sakit tenat kerana menghidap kanser paru-paru telah berkahwin dengan Liyuan sejak 10 tahun lalu dan mempunyai seorang anak lelaki berusia lima tahun.

Selepas suaminya disahkan menghidap kanser pada November tahun lepas, Liyuan berkata, dia menjadi matang dalam sekelip mata, daripada seorang gadis mentah yang ingin dijaga kepada penjaga pesakit kanser.

“Orang ramai berkata perkahwinan kami seperti istana pasir, tetapi mereka tidak tahu suami saya mendewasakan saya menjadi seorang yang matang.

“Dia memberi saya cinta terbaik yang boleh diberikan oleh seorang lelaki kepada seorang wanita,” katanya dalam sebuah video.

Liyuan kekal di samping Hou semasa dia menjalani lima pusingan kemoterapi dan rawatan lain.

Selepas diagnosisnya, Hou dilaporkan memindahkan semua kekayaannya yang bernilai 300 juta yuan kepada Liyuan.

Hou berkata, Liyuan menjadi semangatnya semasa dia bergelut dengan penyakit itu.

Keputusan itu dilaporkan mendapat tentangan hebat daripada bekas isteri Hou dan anak-anaknya.

Kisah tersebut menjadi tular dan menerima pelbagai komen pengguna media sosial.

“Memang benar apabila orang mengatakan bahawa apabila anda mempunyai ibu tiri, anda juga akan mempunyai bapa tiri,” kata seorang netizen yang mengkritik sikap tidak peduli Hou terhadap anak-anaknya yang lain.

“Adalah perkara biasa bahawa orang mewasiatakan wang kepada individu yang benar-benar menjaga mereka ketika sakit,” kata pengguna media sosial lain. – AGENSI

Read Entire Article
Pertanian | | | |