PERSATUAN Badminton Malaysia (BAM) mendedahkan badan induk itu memerlukan lebih RM50 juta setahun bagi menampung kos operasi, termasuk dari segi pemberian imbuhan kepada pemain dan jurulatih.
Presiden BAM, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, sepanjang tahun lalu, persatuan itu sudah berbelanja hampir RM54 juta sehingga November dengan imbuhan kepada pemain dan jurulatih merupakan yang terbesar.
Beliau menjelaskan, BAM memerlukan sekurang-kurangnya RM55 juta bagi memastikan kelancaran operasi badan induk berkenaan sepanjang 2026 dan tidak menolak kemungkinan jumlah itu mungkin bertambah.
“Itu (jumlah perbelanjaan 2025) masih belum diputuskan kerana masih belum menutup akaun tetapi setakat November, ia mencecah RM54 juta. Ini merupakan kos keseluruhan dengan dua perbelanjaan terbesar adalah imbuhan pemain dan jurulatih.
“Satu lagi yang mahal adalah kos menganjurkan kejohanan, termasuk Terbuka Malaysia tetapi memang sudah ada peruntukan. Untuk ke depan, kita memerlukan lebih peruntukan,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Ahli Majlis BAM di Axiata Arena, Bukit Jalil semalam.
Tambah beliau, badan induk itu memerlukan sekurang-kurangnya RM55 juta bagi menampung kos operasi tahun ini selain melaungkan keyakinan jabatan pemasaran mampu untuk menarik lebih banyak tajaan.
“Pengerusi Pemasaran dan Penjenamaan, Datuk Seri Shazalli Ramly telah membentangkan idea untuk memperkasakan jenama kita. Ia bagi memudahkan BAM untuk mendapatkan sokongan (tajaan),” ujar Zafrul.
Sementara itu, beliau turut mengumumkan pihaknya masih berada dalam perbincangan bagi menaikkan elaun pemain-pemain remaja sehingga RM1,000 berbanding antara RM400 dan RM600 yang dinikmati setakat ini.
“Kita akan berbincang dengan penaja kerana ada antara mereka mencadangkan untuk menaikkan elaun sehingga RM1,000. Mungkin sekitar RM300 hingga RM400 akan dimasukkan ke dalam akaun simpanan mereka,” ujar Zafrul.

9 hours ago
1










![[VIDEO] ‘Tinggi Siti melompat, tenaga memang no 1’](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/01/ct.jpeg)



![[VIDEO] ‘Bersila luar stadium, kena scam tiket konset Siti Nurhaliza’](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/01/konsert-Siti-Nurhaliza-di-SNBJ-malam-tadi-ekoran-tiket-dibeli-adalah-scam..jpeg)


































