LBS Bina peroleh hak pembangunan di 77.829 hektar Kwasa Damansara

19 hours ago 6

PETALING JAYA – KWASA Land Sdn. Bhd., (KLSB), anak syarikat milik Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) hari ini menandatangani Perjanjian Hak Pembangunan (DRA) bersama LBS Bina Group Berhad (Kumpulan LBS) iaitu pemaju hartanah terkemuka menerusi anak syarikatnya, LBS Kwasa Damansara Sdn. Bhd., (LBS Kwasa Damansara). 

Menerusi DRA ini, LBS Kwasa Damansara diberi hak eksklusif untuk membangunkan 11 ‘parcel’ tanah pegangan bebas berkeluasan 192.32 ekar (77.829 hektar) di perbandaran Kwasa Damansara, Petaling, Selangor. 

Projek ini dijangka menjana Nilai Pembangunan Kasar (GDV) sebanyak RM8.3 bilion menandakan satu pelaburan strategik oleh LBS di kawasan perbandaran berpotensi tinggi di Lembah Klang. 

Pembangunan yang dicadangkan di Petaling Jaya Barat di kawasan Kwasa Damansara ini bakal menampilkan sebanyak 2,922 unit kediaman, merangkumi gabungan seimbang antara kondominium bertingkat rendah dan sederhana serta perumahan. 

Reka bentuk pembangunan ini dirangka khusus bagi memenuhi pelbagai keperluan pasaran dan aspirasi gaya hidup masa kini serta disokong oleh pembangunan infrastruktur asas, selaras dengan pelan induk yang diluluskan. Projek ini dijangka akan dilaksanakan secara berfasa untuk tempoh 14 tahun.

Pengarah Urusan Kwasa Land, Datuk Adenan Md. Yusof berkata, pihaknya berbesar hati untuk menjalinkan kerjasama dengan LBS, sebuah pemaju yang mempunyai rekod pencapaian cemerlang dalam pembangunan projek-projek berkualiti dan berteraskan komuniti. 

“Kerjasama ini menandakan satu langkah progresif dalam merealisasikan aspirasi menjadikan Kwasa Damansara sebagai sebuah perbandaran lestari dan menyeluruh dirancang untuk menampung pertumbuhan pesat populasi bandar di Malaysia. 

BARISAN tertinggi Kwasa Land dan Kumpulan LBS bergambar kenangan selepas menandatangani DRA hari ini.

“Dengan reka bentuk yang bersepadu serta strategik termasuk akses mudah ke stesen sistem transit aliran massa (MRT), kami yakin projek ini akan menyumbang secara signifikan kepada daya tarikan dan nilai jangka panjang perbandaran ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Hak pembangunan bernilai RM1.216 bilion, sebahagian besarnya merangkumi kos keseluruhan tanah bagi projek ini, sekali gus mencerminkan potensi pelaburan jangka panjang perbandaran Kwasa Damansara. 

Dengan kedudukan yang strategik, perbandaran ini bakal muncul sebagai peneraju bagi pembangunan lestari di Lembah Klang. 

Perjanjian kerjasama ini juga menunjukkan pencapaian penting dalam trajektori pertumbuhan LBS dan mencerminkan komitmen berterusan terhadap transformasi bersepadu Kwasa Damansara, sebuah perbandaran terancang berkeluasan 2,257 ekar (913.375 hektar) yang disasarkan untuk menjadi pemacu pertumbuhan baharu di koridor utara Kuala Lumpur. 

Kwasa Damansara diunjur sebagai perbandaran moden yang dinamik, berpaksikan sistem pengangkutan awam serta kelestarian dan menampilkan gabungan komprehensif komponen kediaman, komersial, institusi dan rekreasi. 

Sementara itu, Pengerusi Eksekutif Kumpulan LBS, Tan Sri Dr. Lim Hock San berkata, kerjasama tersebut adalah pencapaian penting dalam misi berterusan LBS untuk membangunkan komuniti kediaman berkualiti dan diberikan keutamaan terhadap daya huni jangka panjang. 

“Berbekalkan rekod prestasi kukuh serta pengalaman luas dalam pembangunan perbandaran, kami komited untuk mengoptimumkan nilai tanah utama ini melalui pembangunan kejiranan mampan, berkualiti tinggi dan bersedia untuk cabaran masa hadapan sejajar dengan keperluan pembeli rumah masa kini yang semakin berkembang. 

“Pembangunan strategik ini dijangka dapat mengukuhkan prestasi serta kedudukan kewangan Kumpulan di masa hadapan di samping mempelbagaikan portfolio kami dengan penawaran berimpak tinggi dan eksklusif,” katanya.

Beliau turut menekankan bahawa peluang ini sejajar dengan Strategi 8 x 8 Kumpulan yang akan memacu LBS ke tahap yang lebih tinggi dalam industri pembangunan hartanah menerusi komitmennya terhadap inovasi, kemampanan dan pembangunan komuniti yang berteraskan rakyat.

‘PJ West’ juga bakal menempatkan ‘Kwasa Community Forest’, sebuah kawasan hutan hijau yang dicadang sebagai tempat perlindungan semula jadi subur terletak di puncak tertinggi perbandaran ini. 

Berfungsi sebagai nadi alam yang menyegarkan perbandaran ‘PJ West’, hutan komuniti ini akan dihubungkan dengan kawasan pembangunan di sekitarnya melalui susunan denai dan koridor hijau, sekali gus menyediakan pelbagai laluan akses untuk kemudahan penduduk. 

“Ia dirangka untuk menampilkan elemen rekreasi termasuk kawasan pemandangan yang luas, denai hutan redup pejalan kaki, laluan berbasikal khas, pelantar laluan, pentas terbuka untuk acara dan pelbagai lagi ruang riadah bermanfaat kepada penduduk serta menggalakkan kehidupan bermasyarakat.

“Lokasi yang strategik serta berhampiran penempatan yang telah berkembang seperti Kota Damansara, Tropicana, Subang Bestari dan Sungai Buloh, kawasan ini mempunyai akses mudah kepada pelbagai fasiliti runcit, kedai makanan dan minuman serta zon komersial. 

“Bakal penduduk dapat menikmati kemudahan stesen MRT yang menghubungkan laluan Putrajaya dan Kajang serta akses terus ke lebuh raya termasuk Lebuhraya Lembah Klang Utara (NKVE), Lebuhraya Koridor Guthrie (GCE) dan Lebuhraya Bertingkat Damansara – Shah Alam (DASH) dengan jaraknya hanya 4 kilometer (km) dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah di Subang,” katanya.

Sehubungan itu, dengan inspirasi sebagai sebuah bandar contoh untuk urusan perniagaan, gaya hidup dan rekreasi, Kwasa Damansara akan menampilkan lebih 250 ekar (101.171 hektar)  kawasan hijau yang merangkumi sembilan taman dengan dilengkapi lebih 25 km laluan berbasikal dan pejalan kaki. 

Ia juga bakal menempatkan 25,000 unit kediaman baharu termasuk 10,000 unit rumah mampu milik serta tanah yang diperuntukkan bagi pembinaan 15 sebuah sekolah baharu.

Setakat ini, Kwasa Land telah menandatangani kerjasama bersama 17 rakan pembangunan yang telah dianugerahkan hak pembangunan bagi 973 ekar (393.759 hektar) tanah di dalam kawasan perbandaran itu. 

Ia mewakili 73 peratus daripada keseluruhan tanah boleh niaga seluas 1,331 ekar (538.636 hektar) di Kwasa Damansara dengan GDV yang dianggarkan hampir mencecah RM40 bilion.

Read Entire Article
Pertanian | | | |