KOTA BHARU – Perbezaan kos perjalanan melalui Kompleks Imigresen, Kastam, Kurantin dan Keselamatan (ICQS), Rantau Panjang dengan pangkalan haram menjadi antara punca 34 pelajar dan murid memilih laluan berisiko dengan merentas Sungai Golok untuk ke sekolah.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd. Yusoff Mamat berkata, berdasarkan maklumat keluarga, perjalanan anak-anak yang menetap di Sungai Golok, Thailand ke sekolah di Rantau Panjang melalui ICQS memakan belanja sebanyak RM10.
Menurutnya, bagaimanapun, kos hanya RM4 diperlukan oleh setiap pelajar dengan menaiki bot merentas Sungai Golok untuk ke sekolah.
“Justeru, perbezaan kos itu menyebabkan ibu bapa menggalakkan anak-anak mereka pergi ke sekolah menggunakan pangkalan haram.
“Kita bimbang murid-murid yang berusia 10 tahun ke bawah ini dijadikan keldai dadah yang menyeludup dadah dari Thailand ke negara ini. Perkara ini pernah dilaporkan sebelum ini dan kita tidak mahu kejadian sama berulang,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini hari ini.
Mohd. Yusoff memberitahu, perbezaan kos perjalanan yang ketara itu menyebabkan pelajar dan murid yang menetap di Selatan Thailand sanggup mengambil risiko dengan merentas Sungai Golok untuk ke sekolah.
Kosmo! Online kelmarin melaporkan, Pasukan Gerakan Am (PGA) menahan seramai 34 pelajar dan murid sekolah selepas dikesan menyeberangi Sungai Golok dari Thailand melalui pangkalan haram untuk pergi ke sekolah mereka.
Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, kesemua mereka yang berusia dalam lingkungan tujuh hingga 16 tahun itu ditahan kira-kira pukul 6.30 pagi sebelum dibebaskan kira-kira pukul 11.30 malam kelmarin.
Menurutnya, siasatan mendapati, kesemua mereka termasuk 12 orang perempuan dikesan menyeberangi Sungai Golok melalui pangkalan haram di sini.
“Mereka merupakan warganegara Malaysia yang tinggal di Selatan Thailand, namun bersekolah di Rantau Panjang. Justeru, pihak tertentu perlu mengambil tindakan bagi menangani isu murid atau pelajar merentas Sungai Golok untuk ke sekolah di Rantau Panjang. – KOSMO! ONLINE

8 hours ago
7

![[VIDEO] Treler kemalangan, balik kerja ‘tersangkut’ sesak 5km di Lebuh Raya Elite](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/04/llm.jpeg)













































