KUALA LUMPUR – Pemberian kewarganegaraan kepada tujuh pemain warisan Harimau Malaya yang dikenakan penggantungan 12 bulan oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) adalah sah daripada sudut perundangan Malaysia.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, proses pemberian warganegara terhadap tujuh pemain itu mematuhi semua peruntukan dibawah Perkara 19 Perlembagaan Persekutuan dan Kaedah-Kaedah Kewarganegaraan 1964.
Jelas beliau, isu yang timbul membabitkan penggantungan pemain warisan terbabit adalah berkaitan statut FIFA yang kini sedang diuruskan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
“Hal kelayakan dgn FIFA… itu urusan FAM dengan FIFA yang sekarang ini sedang diuruskan di peringkat rayuan dan sebagainya.
“Menjawab soalan apakah proses pemberian warganegara terhadap tujuh pemain ini mematuhi semua peruntukan Perlembagaan Persekutuan dan kaedah-kaedah warganegara… jawapannya ya dan sangat jelas,” katanya pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.
Beliau menjawab soalan Zakri Hassan (PN-Kangar) berhubung isu tujuh pemain warisan Harimau Malaya dikenakan penggantungan 12 bulan oleh FIFA yang dianggap menjelaskan imej negara.
Menjawab soalan tambahan Syahredzan Johan (PH-Bangi) berkenaan isu sama, Saifuddin Nasution menerangkan, terdapat tiga rukun dibawah Perkara 19 Perlembagaan Persekutuan untuk permohonan warganegara.
Menurut beliau, pertama adalah pemohon kena bermastautin di Malaysia dalam satu tempoh, kedua kena berkelakuan baik dan ketiga pemahaman Bahasa Melayu yang mencukupi atau memadai.
Bagaimanapun, kata beliau, dalam Perlembagaan Persekutuan terdapat juga Seksyen 20 (1) (e) iaitu Menteri Dalam Negeri boleh menggunakan kuasa budi bicara dalam perkara tersebut.
Justeru, katanya, beliau telah menggunakan Seksyen 20 (1) (e) itu bagi memenuhi syarat bermastautin dan pemahaman Bahasa Melayu yang mencukupi atau memadai dalam permohonan pemain warisan terbabit.
“Terdapat permintaan oleh Ahli Parlimen (sebelum ini) supaya syarat penguasaan Bahasa Melayu dipermudahkan terutama bagi warga emas. Markah penuh lapan, saya turunkan kepada dua.
“Kita guna pakai ini bagi ujian bahasa, tapi dalam kes ini (pemain warisan), saya guna pakai kuasa dibawah Seksyen 20 (1) (e) Perlembagaan Persekutuan,” katanya. – KOSMO! ONLINE