Ketuk-ketuk cermin paksa beli

16 hours ago 8

PETALING JAYA – Tindakan seorang penjual jeruk mangga yang didakwa mengetuk cermin kereta dan memaksa pengguna jalan raya membeli jualannya di persimpangan lampu isyarat mengundang kemarahan orang ramai.

Turut mengalami situasi sama, seorang pengguna Threads, Seri Dewi Amin mendakwa, dia didatangi penjual berkenaan ketika berhenti di lampu isyarat di sekitar Johor Bahru, baru-baru ini.

Menurutnya, dia memang tidak membeli jeruk mangga atau jambu kerana tiada ahli keluarga yang memakannya, namun berdepan situasi memaksa apabila penjual terbabit bertindak agresif.
“Dia ketuk-ketuk cermin kereta dan paksa beli. Asyik ulang ‘satu je kak, satu je kak’. Bila saya tak nak beli, dia badi (marah) pada saya,” katanya dalam hantaran tersebut.

Wanita itu menegaskan keputusan untuk membeli atau tidak adalah hak pengguna dan tidak sepatutnya dipaksa, lebih-lebih lagi ketika berada di jalan raya.

Tambahnya, cara berniaga sedemikian bukan sahaja mengganggu ketenteraman, malah boleh membahayakan nyawa pemandu serta penjual sendiri kerana dilakukan di tengah-tengah aliran trafik.

“Banyak lagi peluang kerja lain. Carilah, jangan terus menerus kerja macam ini. Lagipun benda ini salah di sisi undang-undang,” ujarnya.

Katanya, keadaan menjadi semakin tidak selesa sehingga dia terpaksa mengunci pintu kereta kerana penjual berkenaan terus memaksa.

Perkongsian itu mencetuskan pelbagai reaksi pengguna media sosial yang rata-ratanya menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan bagi membanteras aktiviti jualan di persimpangan lampu isyarat.

“Sila hapuskan jualan begini. Banyak kes kemalangan juga, kes keselamatan juga kalau sampai paksa pembeli,” kata Izzam.

“Mereka ini dah macam ada franchise (cawangan) setiap lampu isyarat,” kata @san_whoo.

“Lapor majlis je sis (puan). Dekat Melaka majlis dah mula saman penjual mangga dekat jalan ini. Kalau ‘kantoi’ berniaga, mereka kena angkut sekali dengan jeruk-jeruk dia,” komen @nrllya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |