Kenderaan berat dilarang masuk lebuh raya waktu puncak mulai 19 Februari

1 month ago 21

PETALING JAYA – Lembaga Lebuh Raya (LLM) memperluaskan pelaksanaan larangan pergerakan kenderaan berat memasuki lebuh raya pada waktu puncak di beberapa jajaran lebuh raya terpilih di sekitar Lembah Klang bermula 19 Februari ini.

Lebuh raya terlibat adalah Lebuh Raya Utara-Selatan, Lebuh Raya Baru Lembah Klang (NKVE), Lebuh Raya Utara-Selatan Hubungan Tengah (Elite) dan Lebuh Raya Duta-Ulu Kelang (Duke).

LLM menerusi kenyataannya berkata, pelaksanaan larangan ini telah diwartakan oleh kerajaan pada 21 Oktober 2024 dan merupakan salah satu inisiatif di bawah Jawatankuasa Kabinet Mengenai Keselamatan Dan Kesesakan Jalan Raya (JKMKKJR).

Menurut LLM, ia bertujuan untuk melancarkan pergerakan trafik di kawasan Lembah Klang dan Pusat Bandaraya Kuala Lumpur.

“Kenderaan berat yang terlibat dalam pelaksanaan larangan tersebut adalah kenderaan motor kelas dua iaitu kenderaan yang mempunyai dua gandar dan enam roda, kecuali bas.

“Antara lain yang dilarang adalah kenderaan motor kelas tiga iaitu kenderaan yang mempunyai tiga gandar atau lebih, kecuali bas,” kata kenyataan itu.

Pelaksanaan di Lebuh Raya Utara-Selatan melibatkan jajaran Sungai Buloh ke Bukit Lanjan bagi kedua-dua arah di kilometer (KM) KM456.0 sehingga KM459.3, manakala Lebuh Raya NKVE di jajaran Shah Alam ke Jalan Duta bagi kedua-dua arah di KM9.0 sehingga KM31.0.

Di Lebuh Raya Elite pula, jajaran terlibat adalah Shah Alam ke Bandar Saujana Putra di kedua-dua arah di KM1.03 sehingga KM16.2 selain melibatkan seluruh Lebuh Raya Duke.

LLM berkata langkah itu berkuat kuasa pada Isnin hingga Jumaat kecuali pada hari kelepasan am bermula pada 6.30 sehingga 9.30 pagi dan 4.30 petang sehingga 7.30 malam.

Walau bagaimanapun menurut LLM, larangan itu dikecualikan bagi kenderaan berat yang terlibat dengan kerja kerja pembersihan, pembuangan dan penghantaran sisa domestik, perkhidmatan kecemasan dan penguatkuasaan selain kenderaan berat yang terlibat dengan kerja penyelenggaraan lebuh raya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |