Pemandu Grab seram sejuk, penumpang wanita ghaib depan kubur

16 hours ago 7

JAKARTA – Seorang pemandu e-hailing Grab mengalami detik seram semasa menurunkan seorang penumpang wanita di sebuah kawasan perkuburan selepas waktu tengah malam, lapor laman berita Tribunnews semalam.

Lebih menghairankan, penumpang wanita itu hilang secara tiba-tiba dari  tempat duduk belakang sejurus mereka tiba di lokasi tersebut.

Kejadian berlaku kelmarin sekitar pukul 1.05 pagi (waktu tempatan) di Banyumas, wilayah Jawa Tengah.

Berdasarkan video yang dimuat naik di platform TikTok, sebuah kenderaan Grab dilihat masuk ke jalan sempit menghala ke kawasan perkuburan di MI Kedungwringin, Patikraja.

Pemandu tersebut dikatakan mula berasa pelik ketika mendekati kawasan sunyi itu.

Dia bertambah cemas apabila mendapati koordinat lokasi penghantaran adalah betul-betul di hadapan pagar kawasan perkuburan.

Ketika menoleh ke tempat duduk belakang untuk bercakap dengan penumpang, dia mendapati wanita tersebut sudah tiada.

Pemandu tersebut ketakutan sebelum kenderaannya didekati sekumpulan penduduk yang sedang melakukan rondaan rukun tetangga.

Menurut penduduk tempatan dikenali sebagai Wulung, 43, ia merupakan kejadian misteri ketiga yang dialami pemandu teksi di lokasi itu dalam masa seminggu, seperti laporan laman berita Bhinneka Nusantara.

“Sudah tiga kali kejadian seperti ini berlaku dalam seminggu. 

“Semuanya berlaku selepas tengah malam,  di mana pemandu sesat dan kebingungan kerana lokasi menurunkan  penumpang betul-betul di depan pintu masuk kawasan perkuburan,” katanya.

Seorang penduduk bernama Wahyu, 45, berkata, dalam kejadian kelmarin, mereka melihat kenderaan Grab itu berhenti di tepi jalan berhadapan kawasan perkuburan.

Ujarnya, ketika dihampiri, pemandunya dilihat berada dalam kebingungan kerana penumpangnya hilang secara tiba-tiba. 

Tidak dinyatakan keadaan pemandu tersebut selepas itu dan sama ada penumpang berkenaan benar-benar wujud atau sekadar gurauan. – AGENSI 

Read Entire Article
Pertanian | | | |