Kenali tanda-tanda hipotermia, kesejukan melampau

3 hours ago 2

PETALING JAYA – Hipotermia atau kesejukan melampau sering dianggap remeh oleh pendaki dan pencinta aktiviti luar, namun hakikatnya keadaan ini boleh meragut nyawa dalam senyap jika tidak dikesan awal.

Hipotermia berlaku apabila suhu badan seseorang menurun di bawah paras normal (35 darjah Celsius), menyebabkan fungsi tubuh terganggu secara berperingkat sehingga boleh membawa maut.

Tanda-tanda awal perlu dikenal pasti segera bagi mengelakkan keadaan menjadi kritikal. Antara simptom yang lazim dialami ialah menggigil kuat yang kemudian berhenti secara tiba-tiba, bibir dan jari bertukar kebiruan atau pucat, percakapan menjadi tidak jelas, serta kehilangan koordinasi badan hingga sukar menggenggam atau membuka zip beg.

Selain itu, mangsa juga mungkin berasa ngantuk luar biasa, ingin baring dan tidur, manakala nadi serta pernafasan menjadi perlahan petanda bahaya yang menandakan suhu badan telah jatuh dengan ketara.

Bagi mereka yang berdepan situasi ini ketika berada seorang diri di kawasan gunung atau hutan, beberapa langkah kecemasan boleh menyelamatkan nyawa.

Antara langkah utama ialah mencari perlindungan daripada angin dan hujan dengan menggunakan poncho, tarp atau ranting daun besar sebagai tempat berteduh. Mangsa juga dinasihatkan supaya tidak duduk terus di atas tanah, sebaliknya beralaskan daun, beg atau kayu bagi mengurangkan kehilangan haba.

Jika pakaian basah, tanggalkan segera dan pakai lapisan kering paling hampir dengan kulit. Sekiranya tiada pakaian ganti, perah pakaian basah dan bungkus diri menggunakan beg plastik besar atau emergency blanket reflektif.

Langkah seterusnya ialah memanaskan bahagian teras badan seperti dada, leher, ketiak dan pangkal paha menggunakan botol berisi air suam atau haba badan sendiri. Jangan sesekali cuba memanaskan tangan atau kaki dahulu kerana ia boleh mengganggu pengaliran darah ke organ penting.

Minum air suam dan makan makanan berkalori tinggi seperti coklat, madu atau tenaga segera juga membantu tubuh menghasilkan haba melalui metabolisme.

Jika keadaan mengizinkan, buat api kecil di kawasan terlindung angin untuk menambah sumber haba serta mengeringkan pakaian. Namun, mangsa perlu berhati-hati agar tidak terlalu dekat dengan api dan pastikan pengudaraan mencukupi.

Mangsa juga dinasihatkan kekal sedar dan bergerak ringan bagi mengekalkan suhu tubuh. Elakkan tidur sebelum suhu badan kembali stabil. Jika keadaan semakin teruk, segera beri isyarat kecemasan menggunakan wisel (tiga tiupan pendek) atau pakaian terang di kawasan terbuka bagi menarik perhatian pasukan penyelamat.

Sebagai langkah pencegahan, pendaki disarankan sentiasa membawa poncho, baju ganti, selimut kecemasan, makanan tenaga dan pemetik api walaupun dalam perjalanan singkat. Elakkan juga berpeluh berlebihan dan pastikan tidur di tempat kering serta terlindung angin.

Hipotermia mungkin kelihatan seperti ancaman kecil, namun tanpa tindakan pantas, ia boleh menjadi pembunuh yang boleh dielak, satu peringatan penting bagi semua pencinta alam dan aktiviti lasak. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |