[KEMAS KINI] Tiga sekeluarga maut, dua parah kemalangan tiga kenderaan

4 hours ago 2

SEGAMAT – Tiga sekeluarga maut manakala dua yang lain cedera parah dalam nahas melibatkan tiga buah kenderaan di Kilometer 212, Jalan Johor Bahru-Seremban berhampiran kawasan simpang ke arah Taman Golden Hill, Gemas Baru, Segamat, petang tadi.

Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Mohd Jumazanzahir Chek Ismail berkata, kemalangan yang berlaku kira-kira pukul 3.45 petang itu melibatkan sebuah treler, van dan sebuah lori 10 tan.

Menurutnya, kemalangan dipercayai berlaku apabila sebuah van yang dipandu oleh seorang lelaki warga tempatan berumur 70-an bersama empat orang penumpang berumur lingkungan 20-an hingga 60-an bergerak dari arah Segamat menghala masuk simpang ke arah Taman Golden Hill, Gemas Baru.

“Kenderaan berkenaan telah dilanggar di bahagian belakang kiri oleh sebuah treler yang bergerak di belakang van yang dipandu oleh seorang lelaki warga tempatan berumur lingkungan 20-an.

“Akibat pelanggaran pertama, van telah termasuk ke laluan bertentangan dan dilanggar di bahagian hadapan oleh sebuah lori 10 tan yang dipandu oleh seorang lelaki warga tempatan berumur lingkungan 30-an.

“Dalam kejadian ini, pemandu van dan dua penumpang yang dipercayai ahli keluarga telah mengalami kecederaan parah dan meninggal dunia di tempat kejadian,”katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah beliau, kesemua mangsa maut di bawa ke Hospital Segamat untuk bedah siasat manakala dua lagi penumpang van mengalami kecederaan dan sedang menerima rawatan di hospital sama.

Tambahnya, pemandu treler dan lori 10 tan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Kes telah disiasat di bawah seksyen 41 (1) akta pengangkutan jalan 1987 dan siasatan lanjut masih diteruskan.

“Pihak polis memohon saksi awam yang melihat kejadian boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Mega Rajiman di talian 07-9325811 untuk membantu siasatan atau mana-mana balai polis berhampiran,”katanya.-KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |