KBS utamakan sukan membentuk perpaduan rakyat

1 week ago 11

SUKAN yang mampu menyatukan seluruh rakyat Malaysia dijangka menerima kenaikan dari segi peruntukan menjelang pembentangan Belanjawan 2026 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, hasil perbincangan bersama Kementerian Kewangan (MOF), sukan-sukan yang boleh menjadi medan penyatuan rakyat Malaysia akan diberikan perhatian khusus.

Jelas beliau, antara contoh paling mudah adalah sukan badminton di mana seluruh peminat sukan tanah air bergabung tenaga memberikan sokongan sehingga menyaksikan lahirnya juara dunia menerusi beregu campuran, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei.

Justeru, sukan-sukan yang mempromosikan perpaduan antara rakyat di negara ini berpeluang untuk menerima peruntukan serta sokongan daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

“Kita ada melakukan perbincangan dengan Kementerian Kewangan bagi berdialog mengenai hala tuju KBS dan bagaimana kita menggunakan dana untuk melabur dalam Geran Padanan Sukan bagi memperbanyakkan lagi pertandingan sukan.

“Hasrat Kementerian Kewangan adalah untuk melihat sukan yang menyatukan semua kaum di Malaysia, jadi mereka mahu mempromosikan sukan perpaduan. Sukan yang menyatukan kaum akan diberikan dana oleh Kementerian Kewangan,” katanya.

Bagaimanapun, beliau turut menegaskan, sukan-sukan tersebut bukanlah menerima peruntukan secara khusus, sebaliknya KBS akan memberikan lebih sokongan dalam usaha memupuk perpaduan rakyat menerusi sukan.

Tambah Hannah, wang atau peruntukan itu akan diagihkan oleh KBS selain memohon supaya dana untuk program sedia ada termasuk Geran Padanan Sukan, Dana Sukan Komuniti dan sebagainya dikekalkan.

“Apabila duit sampai kepada kita, ia akan diagihkan dan sebagai contoh, tahun ini kita agihkan peruntukan untuk klinik dan kelas selain mencari sukan-sukan yang boleh diakses oleh rakyat dengan senang.

“Itu adalah tanggungjawab KBS, cuma kita minta duit untuk program sedia ada dikekalkan. Geran Padanan Sukan, Dana Sukan Komuniti dan Rakan Muda sangat membantu kita transformasi isu kepada benda positif,” ujarnya.

Read Entire Article
Pertanian | | | |