KUALA NERUS – Kegirangan lima kanak-kanak dibawa ibu saudara mereka bersiar-siar beriadah bertukar tragedi apabila salah seorang daripada mereka dikhuatiri lemas selepas ditarik ombak besar di Pantai Sauh, Kampung Pengkalan Atap di sini kelmarin.
Sewaktu kejadian pada pukul 6.32 petang itu, mangsa, Muhammad Zarif Mohd. Hazahari, 5, dikatakan ke gigi air untuk membasuh kaki sebelum ditarik ombak besar ke tengah laut.
Ibu mangsa terkejut apabila dimaklumkan anaknya hilang dalam kejadian itu dan tidak berganjak menunggu pasukan penyelamat melakukan operasi mencari dan menyelamat anak lelakinya, Muhammad Zarif yang dikhuatiri lemas itu.
Siti Hajar Ismail, 42, berkata, dia berharap jasad Muhammad Zarif dapat ditemui segera tidak kira sama ada masih hidup ataupun sebaliknya.
“Sewaktu kejadian anak saya, Muhammad Zarif dan kakaknya serta dua sepupu lelakinya mengikut ibu saudara, Siti Nurul Aina Sahirah Ismail, 31, ambil angin di tepi pantai.
“Tak sangka jadi begini. Saya terus bergegas ke lokasi kejadian dari rumah di Kampung Batu Rakit berhampiran sebaik mengetahui musibah tersebut,” katanya ketika ditemui di Pantai Sauh di sini semalam.
Turut menanti di lokasi kejadian, nenek Muhammad Zarif, Khatijah Yusof, 65, yang tidak putus-putus membaca al-Quran bagi memudahkan operasi mencari cucu lelakinya.
Siti Hajar berkata, Muhammad Zarif sepatutnya memasuki prasekolah di salah sebuah Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti) berhampiran rumah mereka pada hari ini (semalam).
Dia berkata, begitupun anak lelakinya itu seakan-akan tidak teruja mahu memasuki Pasti dengan alasan tidak mahu berpisah dengan adik bongsunya yang berusia tiga tahun.
“Dia (Muhammad Zarif) juga kata mahu tidur (tidak mahu bangun awal) dan menyuruh saya pula yang bersekolah. “Tidak sangka itu keletahnya yang terakhir,” katanya.
Terdahulu, Muhammad Zarif dikhuatiri lemas setelah dibawa arus laut ekoran dipukul ombak besar sewaktu sedang membasuh kaki di Pantai Sauh di sini pada pukul 6.32 petang kelmarin.
Ibu saudara mangsa, Siti Nurul Aina Sahirah Ismail, 31, berkata, sebelum kejadian, dua anaknya, Mohd. Sharim Sameer, 4, Muhammad Darwish Uwais, 7, dan Muhammad Zarif telah dibawa bersiar-siar di pesisir Pantai Saung pada pukul 6 petang.
“Sebelum pulang, anak saya, Muhammad Darwish Uwais dan Muhammad Zarif mahu membasuh kaki di gigi air.
“Mereka tiba-tiba ditarik ombak besar lalu mula dihanyutkan ke tengah laut. Saya yang panik segera mahu menyelamatkan mereka,” katanya ketika ditemui di Pantai Saung di sini semalam.
Siti Nurul Aina Sahirah berkata, dia cuba mampu menyelamatkan Muhammad Dawish Uwais, manakala Muhammad Zarif yang berada lebih di depan terus hanyut ke tengah laut.
Katanya, dia sendiri hampir lemas sebelum diselamatkan penduduk kampung.

19 hours ago
5








![[VIDEO] ‘Tinggi Siti melompat, tenaga memang no 1’](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/01/ct.jpeg)



![[VIDEO] ‘Bersila luar stadium, kena scam tiket konset Siti Nurhaliza’](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/01/konsert-Siti-Nurhaliza-di-SNBJ-malam-tadi-ekoran-tiket-dibeli-adalah-scam..jpeg)




































