SAYA mahu tanya berkenaan hukum wanita yang terlibat dalam misi Global Sumud Flotila (GSF) ke Palestin bagi menghantar bantuan makanan, ubat-ubatan dan seumpamanya?
JAWAPAN: JIHAD di jalan Allah SWT merupakan sesuatu perbuatan yang agung dan mulia serta dijanjikan dengan ganjaran yang sangat besar. Oleh yang demikian, setiap orang yang beriman sentiasa mencari peluang untuk berjihad bagi memperoleh keredaan Allah SWT dan ganjaran dijanjikan tersebut. Firman Allah SWT: “Sesungguhnya Allah telah membeli daripada orang-orang yang beriman akan jiwa mereka dan harta benda mereka dengan (balasan) bahawa mereka akan beroleh syurga, (disebabkan) mereka berjuang pada jalan Allah, maka (antara) mereka ada yang membunuh dan terbunuh. (Balasan syurga yang demikian ialah) sebagai janji yang benar yang ditetapkan oleh Allah di dalam (kitab-kitab) Taurat dan Injil serta al-Quran; dan siapakah lagi yang lebih menyempurnakan janjinya daripada Allah? Oleh itu, bergembiralah dengan jualan yang kamu jalankan jual belinya itu, dan (ketahuilah bahawa) jual beli (yang seperti itu) adalah kemenangan besar. (Surah al-Taubah: 111)
Oleh yang demikian, terdapat juga golongan daripada kalangan wanita yang ingin turut serta dalam berjihad di jalan Allah SWT. Khususnya, isu Palestin yang kini berada di tahap paling genting dan terdesak dalam sejarah konfliknya. Ia sekali gus menggerakkan sesetengah golongan wanita untuk terlibat secara langsung dalam pelbagai usaha untuk menghulurkan bantuan kepada saudara di sana.
Pada asasnya, hukum wanita terlibat dalam jihad peperangan adalah tidak diwajibkan. Hal ini kerana terdapat tujuh syarat yang ditetapkan oleh para ulama yang antaranya mestilah berjantina lelaki dan tidak diwajibkan ke atas wanita.
Imam Abu Syuja’ dalam kitabnya Matn al-Ghayah wa al-Taqrib menyebutkan bahawa: ‘Syarat-syarat kewajipan jihad ada tujuh perkara: Islam, baligh, berakal, merdeka, lelaki, sihat dan berkemampuan untuk berperang’.
Dalam hal ini, Imam Sulaiman al-Bujairimi menerangkan bahawa syarat wajib berjihad hanya kepada lelaki disebabkan oleh beberapa faktor. Antaranya, keadaan fizikal wanita yang lemah.
Namun begitu, hal ini adalah dari sudut hukum kewajipan jihad dalam bentuk peperangan mengangkat senjata. Ada pun dalam Sirah Nabawiyyah dapat dilihat penglibatan kaum wanita di medan jihad, walaupun bukan berperang mengangkat senjata secara langsung terhadap musuh.
Hal ini dapat dilihat dalam banyak hadis yang meriwayatkan peranan wanita dalam peperangan, contohnya disebut dalam bab Sahih al-Bukhari. Antaranya hadis yang diriwayatkan oleh Anas Ibn Malik bahawa: “Pada hari perang Uhud berlaku, pasukan kaum Muslim mundur daripada Nabi SAW, aku (Anas RA) melihat Saidatina ‘Aisyah binti Abu Bakar dan Ummu Sulaim sedang sibuk dalam keadaan menyinsing pakaian mereka. Aku melihat gelang-gelang kakinya pada betisnya masing-masing. Orang yang lain pula berkata: Kedua-duanya mengangkat qirab (sejenis bekas air) di atas belakang masing-masing dan memberi minum pasukan muslimin. Setelah itu, kedua-duanya pergi mengambil air dan memenuhi bekas air masing-masing, kemudian memberi minum kepada pasukan muslim lagi.” (Riwayat al-Bukhari)
Berdasarkan hadis ini, Ibn Battal menyebutkan dalam syarahanya bahawa hal ini menunjukkan kaum wanita juga terlibat dalam peperangan dengan peranan yang berbeza daripada kaum lelaki seperti memberi minum kepada para pejuang dan merawat golongan yang tercedera dalam kalangan mereka.
Di samping itu, peranan yang dijalankan oleh kaum wanita ini juga dikira sebagai satu bentuk penglibatan secara langsung (mubasyarah) yang mana akan memperolehi ganjaran sama seperti golongan yang berjihad di jalan-Nya secara langsung. Ini sepertimana disebutkan oleh Imam Badruddin al-‘Aini bahawa:
Seterusnya, sebagai melengkapkan penjelasan ini disertakan bersama di sini beberapa garis panduan penglibatan wanita dalam usaha jihad seperti yang dilihat pada hari ini.
Syarat-syaratnya, pertama, hendaklah melaksanakan peranan yang signifikan, selain daripada berperang seperti menyampaikan bantuan makanan, ubat-ubatan serta keperluan asasi diperlukan dalam usaha jihad.
Kedua, memastikan keselamatan dan keamanan dalam melaksanakan usaha tersebut terjamin dan dilindungi oleh organisasi yang tersusun dan mempunyai hubungan dengan pihak-pihak yang bertanggungjawab. Ketiga, menutup aurat dan memelihara maruah diri daripada sebarang perkara yang menimbulkan fitnah.
Oleh yang demikian, jika syarat-syarat ini dipenuhi, maka hukum penglibatan wanita dalam usaha jihad seperti ini adalah harus dan dibenarkan.
Justeru, dalam hal ini sokongan dan dokongan harus diberikan kepada para peserta yang terlibat secara sukarela tersebut.
Kesimpulannya, sememangnya tiada kewajipan ke atas kaum wanita untuk terlibat mengangkat senjata dalam peperangan jihad.
Namun begitu, sumbangan dan peranan mereka dalam pelbagai aspek lain dalam membantu kejayaan sesuatu misi jihad merupakan suatu perkara yang dituntut dan terpuji seperti dilakukan oleh Saidatina Aisyah dan Ummu Sulaim dalam peperangan Uhud.