LONDON – Iran hanya membenarkan kapal tangki dari negara-negara mesra Tehran untuk menyeberangi Selat Hormuz, laluan perdagangan utama yang ditutup akibat Perang Asia Barat, demikian menurut laporan penjejak data semalam.
Tehran menutup Selat Hormuz yang merupakan laluan satu perlima bekalan minyak dunia dan gas asli cecair. Kapal dagang yang ingkar menjadi sasaran bedilan sejak perang Iran menentang Amerika Syarikat dan Israel bermula pada 28 Februari lalu.
Bagaimanapun, sekurang-kurangnya lima kapal melepasi selat berkenaan di perairan Iran pada 15 dan 16 Mac lalu, kata firma perisikan maritim, Windward dalam laporan analisisnya semalam.
“Iran melaksanakan sekatan terpilih dengan hanya membenarkan sekutu dan penyokong melalui Selat Hormuz,” kata firma itu.
Penganalisis komoditi bank JPMorgan, Natasha Kaneva berkata, sekurang-kurangnya empat kapal dikesan keluar dari selat itu melalui Saluran Larak–Qeshm, berhampiran pantai Iran pada minggu lalu hingga Isnin lepas.
“Ini bukan laluan biasa untuk kapal dagang (Larak-Qeshm) dan mencerminkan prosedur pengesahan pemilikan serta kargo kapal bagi membenarkan kapal yang tiada kaitan dengan Amerika Syarikat atau sekutunya melintasi Selat Hormuz,” kata Kaneva kepada AFP.
Kapal dibenarkan menyeberangi laluan air itu termasuk kapal pengangkut pukal dan kapal tangki minyak, Karachi yang mengibarkan bendera Pakistan.
Kaneva berkata kebanyakan minyak mentah yang melalui Selat Hormuz menuju ke Asia, terutamanya China.
Beberapa negara memulakan perbincangan dengan Tehran untuk mendapatkan laluan bagi kapal-kapal mereka, manakala Amerika Syarikat pula mendesak sekutu-sekutunya menyediakan perlindungan tentera untuk melindungi kapal-kapal dagang di rantau itu.
Dua kapal tangki mengibarkan bendera India membawa gas petroleum cecair tiba di pelabuhan India selepas menyeberangi Selat Hormuz hujung minggu lalu, selepas perbincangan antara New Delhi dan Tehran.
Sebuah kapal milik Turkiye juga dapat menyeberangi selat itu dengan kebenaran Iran, kata Menteri Pengangkutan Ankara, Abdulkadir Uraloglu. – AFP

1 hour ago
1

















































