PENGARAH Kejurulatihan Beregu Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky menasihatkan agar Muhammad Haikal Nazri tidak mengubah gaya permainan agresifnya yang menjadi identiti utamanya di dalam gelanggang.
Menurut Rexy, Haikal tidak sepatutnya cuba bermain lebih ‘sopan’ kerana ia boleh menyebabkannya hilang keyakinan diri dan menjejaskan prestasi ketika bergandingan dengan Choong Hon Jian.
“Saya ada bercakap dengan Haikal, dia tidak boleh hilang gaya ‘degil’ itu. Apabila dia cuba bermain terlalu sopan, dia seolah-olah kehilangan kepercayaan diri.
“Dengan gaya agresifnya itu, semua pukulan boleh menjadi,” katanya ketika ditemui di Bukit Kiara semalam.
Rexy menjelaskan, Haikal dan Hon Jian masih dalam proses mencari keserasian dan momentum, terutamanya selepas kedua-dua pemain itu pulih daripada kecederaan yang memaksa mereka berehat hampir enam bulan.
Menurutnya, tempoh rehat yang panjang itu telah memberi kesan besar kepada rentak permainan mereka, sama seperti pernah dialami legenda negara, Datuk Lee Chong Wei.
“Proses untuk kembali selepas cedera dan terus menyertai kejohanan bertaraf tinggi seperti siri Super 500, 750, dan 1000 adalah sangat sukar bagi mereka.
“Mereka sedang di kemuncak prestasi, tetapi terpaksa berehat kerana cedera. Proses untuk mendapatkan semula ‘rasa’ dan cengkaman permainan sememangnya memerlukan masa,” jelasnya.
Tambahnya, walaupun ada perbincangan merehatkan pasangan itu untuk memberi lebih masa latihan, keputusan meneruskan penyertaan mereka dalam kejohanan bagi mengelakkan prestasi terus terjejas akibat kurang pendedahan.
Rexy berharap dalam tempoh persiapan menjelang kejohanan akan datang, Haikal-Hon Jian dapat kembali menemui momentum dan keyakinan mereka.
“Kalau direhatkan lagi, prestasi mereka boleh terjejas. Kita harap dalam beberapa hari ini, mereka dapat kembali temui momentum,” tambahnya.