Habuan RM1 juta untuk Filem Terbaik FFM34

1 week ago 12

MENYUNTIK semangat kepada pengkarya, penerbit yang memenangi trofi Filem Terbaik pada Festival Filem Malaysia (FFM) ke-34 bakal menerima geran Dana Kandungan Kreatif (DKK) berjumlah RM1 juta.

Ganjaran yang dinaikkan separuh daripada hadiah edisi tahun lalu tersebut merupakan antara strategi kerajaan menerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) memberi insentif agar penerbit menghasilkan lebih banyak naskhah berkualiti.

Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, ganjaran istimewa Dana Kandungan Kreatif (DKK) itu membuktikan sokongan berterusan kerajaan bagi membawa karya tempatan menembusi pasaran antarabangsa.

“Ini bukan sekadar ganjaran kewangan, sebaliknya komitmen kerajaan untuk melihat karya unggul Malaysia terus melangkah jauh ke persada luar.

“Karya yang menang bukan hanya untuk dikenang, tetapi juga disokong bagi terus berkembang dan mencapai penonton global,” katanya selepas majlis perasmian dan pengumuman Top 5 FFM34, baru-baru ini.

Hadir sama, Timbalan Ketua Setiausaha Komunikasi Strategik dan Industri Kreatif, Nik Kamaruzaman Nik Husin; Ketua Pengarah Jabatan Penyiaran Malaysia, Suhaimi Sulaiman; Pengerusi Finas, Datuk Hans Isaac serta Ketua Pegawai Eksekutif Finas, Datuk Azmir Saifuddin Mutalib.

Pada majlis tersebut lima karya iaitu Blood Brothers: Bara Naga, Soloz Game of Life,  Takluk: Lahad Datu, Reversi dan Babah diumumkan sebagai calon Top 5 Filem Terbaik.

Menerusi penganjuran edisi FFM yang lalu, penerima trofi Filem Terbaik, Imaginur membawa pulang DKK sebanyak RM500,000.

Blood Brothers unggul

Filem terbitan Skop Productions dan Primeworks Studios (PWS), Blood Brothers: Bara Naga mendominasi FFM34 apabila meraih 13 pencalonan dalam 11 kategori.

Filem arahan Syafiq Yusof dan Abhilash Chandra tersebut turut bersaing dalam kategori Pengarah Terbaik, Pelakon Lelaki Terbaik dan tiga pencalonan bagi Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik.

Antara kategori lain adalah Lagak Ngeri Terbaik, Lakon Layar Terbaik, Sinematografi Terbaik, Penataan Bunyi Terbaik, Penataan Seni Terbaik, Lagu Tema Terbaik dan Rekaan Kostum/Busana Terbaik.

Filem genre aksi dengan tema persaudaraan yang ditayangkan pada 10 April lalu, mencetuskan fenomena apabila mengaut kutipan pecah panggung sebanyak RM76 juta.

Mengekori rapat pula adalah filem Takluk: Lahad Datu bersama 12 pencalonan diikuti Soloz: Game Of Life (11 pencalonan), Kahar: Kahar Kapla High Council (10), Reversi (9) dan Babah (9).

Paling mencuri tumpuan adalah kategori Pelakon Lelaki Terbaik yang menyaksikan pertembungan antara Beto Kusyairy  bersandar tiket Reversi dengan Qi Razali (Babah), Sharnaaz Ahmad (Blood Brothers), Aeril Zafrel (Laknat) dan Tony Eusoff (Mencari Ramlee).

Kategori ‘panas’ lain adalah trofi Pelakon Wanita Terbaik menyaksikan persaingan antara  Nabila Huda (Telaga Suriram), Datin Sofea Jane (Mencari Ramlee), Khatijah Tan (Jangan Pandang Belakang, Aku Tahu Asal Usulmu), Maya Karin (Telaga Suriram) dan  Sweet Qismina (Babah).

Penganjuran edisi ke-34 juga tidak melupakan jasa bintang legenda dengan memberi penghargaan kepada  Rosnani Jamil, Ruminah Sidek, Datuk Rahim Razali dan Othman Hafsham.

FFM 34 yang menggandingkan Datuk Afdlin Shauki dan Che Puan Sarimah Ibrahim sebagai hos akan disiarkan secara langsung dari Auditorium Seri Angkasa, Kota Media, Angkasapuri, pada 1 November depan, pukul 8.30 malam.

Pemenang kesemua 27 kategori dipertandingkan itu bakal menerima wang tunai RM5,000 dan trofi, manakala pemenang Anugerah Khas akan menerima RM10,000 beserta trofi.

Pemberian hadiah berjumlah RM20,000 dalam bentuk sewaan dan penggunaan fasiliti FINAS untuk tujuh kategori iaitu Pengarah Harapan, Sinematografi , Penataan Bunyi, Pengarah, Dokumentari, Filem, serta Filem Pendek.


Read Entire Article
Pertanian | | | |