PETALING JAYA – Impak sambutan luar biasa penganjuran konsert Inul Daratista Live In Malaysia, satu pertandingan Millenial Dangdut Karaoke Idol 2025 bagi mencari penyanyi dangdut generasi baharu tanah air bakal diadakan tidak lama lagi.
Pengarah Urusan Fajar Baiduri Empire selaku penganjur pertandingan merangkap penerbit konsert Inul, Khairul Isma berkata, pihaknya menerima maklum balas positif daripada peminat yang meminta kami mencari bakat baharu untuk meneruskan legasi muzik dangdut.
“Kami menerima maklum balas yang baik daripada peminat yang tidak sabar untuk konsert itu nanti. Ada yang menyuarakan pandangan mengapa kami tidak mencungkil bakat baharu juga.
“Maklum balas seperti inilah yang memberikan idea kepada kami untuk mengadakan pencarian bakat baharu untuk diketengahkan nanti. Jadi kita sahut cabaran mereka untuk mencari pelapis baharu muzik dangdut,” katanya dalam satu kenyataan.
Katanya, genre dangdut tidak seharusnya ‘mati’ ditelan zaman kerana mempunyai kelompok peminatnya sendiri.
Dia berharap ramai generasi baharu tampil menyertai uji bakat tersebut agar menjadi pelapis penyanyi dangdut tempatan.
“Memang sudah tidak ramai penyanyi baharu yang berani merakamkan lagu dangdut sedangkan pasaran untuk irama berkenaan masih ada kelompok peminat yang tersendiri.
“Platform sudah tersedia dan jangan sesekali sia-siakan bakat yang ada. Kepada orang Pulau Pinang dan kawasan sekitar, jangan lupa daftar penyertaan anda sebelum 8 November ini,” ujarnya.
Mengulas mengenai konsert, Khairul berkata rata-rata peminat tidak sabar untuk berdangdut bersama Inul, Amelina dan Baby Shima di Setia Spice Arena Pulau Pinang pada 6 Disember depan.
“Maklum balas positif pembeli tiket ini sedikit sebanyak menandakan genre dangdut masih relevan selain mengubat kerinduan sebahagian besar peminat Inul yang hampir dua dekad tidak melakukan persembahan di sini.
“Untuk yang berbakat pula, ayuh sertai pertandingan karaoke yang bakal diadakan. Ayuh bersama kami melestarikan industri muzik tanah air,” ujarnya.
Juara pertandingan tersebut bakal membawa pulang hadiah berjumlah RM1,500 dan berpeluang menjadi artis rakaman!
Manakala tempat kedua pula bakal membawa pulang RM1,000 dan lima finalis lain menerima RM700 menerusi pertandingan yang bakal diadakan di Kompleks Bukit Jambul, Pulau Pinang. – KOSMO! ONLINE