SERDANG – Penerbangan membawa lebih 95 aktivis Misi Kemanusiaan Freedom Flotilla Coalition (FFC) x Thousand Madleens to Gaza (TMG) dari Israel dijangka tiba di Istanbul sekitar pukul 8 malam ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Humanitarian Care Malaysia (MyCare), Kamarul Zaman Shaharul Anwar berkata, pihaknya bagaimanapun masih menunggu pengesahan rasmi daripada Wisma Putra berhubung status aktivis Malaysia sama ada kesemuanya turut menaiki pesawat sama atau sebaliknya.
“Setakat ini, kami difahamkan pesawat itu membawa lebih 95 orang aktivis dari 22 buah negara. Namun, pengesahan terperinci sama ada wakil Malaysia berada dalam senarai penumpang masih belum diterima,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat MyCare, di sini hari ini.
Sembilan wakil Malaysia yang dikatakan terlibat ialah Ketua Delegasi Malaysia Prof Emeritus Dr Mohd Alauddin, Dr Fauziah Mohd Hassan, Dr Hafiz Sulaiman, Dr Ili Syakira Mohd Suhaimi, Prof Dr Mohd Afandi Salleh, Dr Noorhasyimah Ismail, Dr Maziah Muhammad, Norsham Abu Bakar dan wartawan Astro Awani Syafik Shukri Abdul Jalil.
Kamarul Zaman berkata, kesemua aktivis Malaysia berada dalam keadaan sihat berdasarkan laporan terkini yang diterima sebelum ini.
“Alhamdulillah, semua aktivis Malaysia dilaporkan berada dalam keadaan baik. Peguam juga sudah berjumpa mereka, namun butiran lanjut mengenai keadaan masing-masing masih belum dapat disahkan,” katanya.
Tambahnya, MyCare bersama Wisma Putra dan keluarga aktivis telah bersiap sedia menghantar wakil ke Istanbul bagi membantu urusan pasca ketibaan termasuk membawa pakaian dan keperluan peribadi memandangkan semua bagasi aktivis dilaporkan hilang semasa insiden rampasan kapal.
“Sekiranya mereka tiba seperti dijadualkan, kerajaan Turkiye akan menjalankan proses saringan awal di lapangan terbang sebelum menentukan jika ada yang memerlukan rawatan lanjut. Jika semua berada dalam keadaan baik, mereka dijangka berehat satu atau dua hari sebelum pulang ke tanah air,” katanya. – KOSMO! ONLINE