PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) perlu menyediakan alasan yang relevan jika mahu mencerahkan peluang ketika ‘menentang’ Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dalam proses rayuan nanti.
Peguam sukan dan komersial tempatan, Nik Erman Nik Roseli berkata, sama ada FAM boleh berjaya atau tidak dalam kes tersebut bergantung kepada alasan yang bakal dikemukakan nanti.
“FAM tidak boleh mengulangi alasan pada peringkat pertama seperti ‘kami tidak tahu’ dan ‘JPN dah buat semakan dan penilaian’.
“FAM perlu ingat bahawa isu di sini bukannya FIFA mempersoalkan kewarganegaraan tujuh pemain itu, sebaliknya FIFA hanya mempersoalkan kelayakan pemain menurut Statut FIFA.
“Antara kriteria kelayakan Statut FIFA adalah datuk atau nenek lahir di Malaysia. Untuk berjaya dalam rayuan, FAM perlu buktikan ini,” katanya ketika dihubungi Kosmo!.
Sebelum ini, FAM menegaskan kesilapan teknikal di peringkat pentadbiran menjadi salah satu punca dan sedia untuk mengheret kes ke peringkat rayuan.
Mengulas lanjut, Nik Erman turut menggesa agar FAM menggunakan khidmat peguam tempatan dan tidak perlu berbelanja besar untuk mendapatkan khidmat peguam luar negara.
“Secara peribadi, saya rasa FAM wajar menggunakan peguam Malaysia untuk melawan dan menjaga maruah negara. Tiada keperluan untuk mengambil peguam luar. Malaysia mempunyai peguam-peguam sukan yang sangat berkebolehan.
“Saya rasa tidak perlu membayar peguam luar lima hingga enam kali ganda untuk sesuatu yang peguam kita boleh lakukan dengan lebih baik,” katanya Ketika dihubungi Kosmo!.
Kosmo! melaporkan FIFA telah mengeluarkan laporan rasmi bertajuk “Notification of the Grounds of the Decision” yang mendakwa FAM telah melanggar peraturan di bawah Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA membabitkan pemalsuan serta pengubahsuaian dokumen rasmi.
Selain hukuman denda yang perlu dijelaskan dalam tempoh 30 hari, tujuh pemain turut digantung selama 12 bulan adalah Gabriel Palmero, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel.