F1: Verstappen akan tinggalkan Red Bull

12 hours ago 5

LONDON – Ketua pasukan Red Bull, Christian Horner mengakui mereka perlu menerima hakikat satu hari nanti Max Verstappen tidak akan lagi bersama mereka walaupun hasrat mahu mengekalkannya sehingga penghujung karier.

Juara dunia empat kali Formula Satu (F1) itu telah bersama pasukan berpangkalan di Milton Keynes, United Kingdom hampir sedekad lalu dan kini dikaitkan dengan perpindahan ke Mercedes.

Bagaimanapun, pada saat ini, Verstappen tidak memberi sebarang petunjuk untuk menyertai pasukan kendalian Toto Wolff tersebut pada masa akan datang.

“Max (Verstappen) adalah elemen penting dalam pasukan dan telah bersama kami hampir 10 tahun. Jadi niat kami adalah untuk terus mengekalkannya.

“Tetapi satu hari nanti, sama ada setahun atau dua tahun lagi, pasti akan tiba hari di mana tiada lagi Max. Anda sentiasa perlu ada kesedaran dan terima hakikat itu.

“Pasukan perlu terus melihat ke hadapan dan melabur untuk masa depan. Kerana satu perkara yang pasti, dalam sukan ini tiada apa yang kekal,” kata Horner.

Tambah Horner, usaha melahirkan pelumba muda berbakat seperti Arvid Lindblad juga sebahagian daripada persiapan jangka panjang sekiranya Verstappen meninggalkan pasukan lebih awal daripada yang dijangka.

Bagaimanapun, Horner menegaskan Verstappen telah menyatakan komitmen untuk terus bersama Red Bull dan menghormati kontraknya yang sah sehingga 2028.

“Max bersama Red Bull sejak permulaan kariernya. Semua kejayaannya diraih bersama kami. Beliau mempunyai kepercayaan yang tinggi terhadap pasukan dan individu di sekelilingnya.

“Memang akan sentiasa ada spekulasi dan bunyi-bunyi luar. Tapi paling penting ialah kejelasan hubungan antara Max dan pasukan serta kami sangat jelas mengenainya.

“Kami abaikan semua bunyi luar dan hanya fokus kepada aspek yang kami tahu perlu ditambah baik,” katanya. – AGENSI

Read Entire Article
Pertanian | | | |