LONDON – Pengurus Chelsea, Enzo Maresca dilapor membuat keputusan meninggalkan Stamford Bridge selepas mengakui sukar mempertahankan jawatan itu dan gagal memainkan peranan sebagai ketua selepas kehilangan sokongan.
Maresca meninggalkan Chelsea dengan keputusan terakhir pasukan itu terikat 2-2 menentang Bournemouth dan berada di kedudukan kelima saingan Liga Perdana Inggeris selepas hanya mencatat satu kemenangan dalam tujuh perlawanan terakhir.
Krisis Maresca di Chelsea dikatakan bermula pada pertengahan Disember ketika mereka mencatat kemenangan 2-0 ke atas Everton apabila beliau mengakui mengharungi tempoh 48 jam yang teruk serta mendakwa ramai pihak di kelab itu tidak menyokongnya.
Perkara itu berkaitan dirinya tidak berpuas hati dengan kerja-kerja yang dilakukan oleh pasukan perubatan kelab untuk memastikan tahap kecergasan pemain dan proses pemulihan termasuk melibatkan ketua pasukan, Reece James yang berdepan isu kecederaan hamstring berulang.
Maresca mendesak pihak pengurusan untuk memberinya kuasa mengabaikan nasihat daripada pasukan perubatan yang dianggap menerapkan protokol tegas melindungi pemain menerusi sistem penggiliran sehingga menyukarkannya mendapatkan skuad terbaik, namun permintaannya tidak diendahkan.
Sumber kelab mendedahkan, konflik berkenaan bermula selepas Maresca membuat pendedahan secara terbuka di media mengenai perkara itu sehingga menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan staf sokongan terutama di bahagian perubatan.
“Selain itu, ada beberapa individu berpengaruh di kelab juga sangat berminat untuk membawa masuk pengendali Strasbourg, Liam Rosenior ke Chelsea. Mereka percaya Rosenior memiliki gaya yang diinginkan oleh pasukan ini,” katanya.
Urusan untuk mendapatkan Rosenior tidak begitu sukar kerana pasukan dari Ligue 1 Perancis itu juga dimiliki oleh BlueCo yang turut menguasai saham terbesar The Blues.
Selain Rosenior, beberapa nama lain yang disebut sebagai calon pengganti Maresca adalah Xavi, Oliver Glasner, Cesc Fabregas, Andoni Iraola atau Roberto De Zerbi, namun pelantikan itu mungkin mengambil sedikit masa.
Sementara itu, peletakkan jawatan Maresca turut mengaitkannya dengan jawatan di Manchester City apabila beliau dikatakan calon pengganti kepada Pep Guardiola, malah khidmatnya turut diburu oleh gergasi Serie A, Juventus. – AGENSI

6 hours ago
4



![[VIDEO] Perompak terhormat ‘kontoi’ curi RON95 siap salotape nombor plat](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/01/WhatsApp-Image-2026-01-03-at-9.22.59-AM.jpeg)






![[VIDEO] ‘Dua jam selepas pujian itu suami pergi’](https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/01/suami-isteri.jpeg)






































