GEORGE TOWN – Keriangan dua kanak-kanak lelaki dan perempuan bermandi-manda di kolam renang sebuah kondominium di Bayan Baru, di sini bertukar tragedi apabila kedua-dua mereka ditemui lemas, semalam.
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Asisten Komisioner Anuwal Ab Wahab berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian melibatkan dua mangsa berusia sekitar tujuh tahun itu kira-kira pukul 9 pagi.
Menurut beliau, hasil siasatan awal mendapati kedua-dua mangsa masing-masing seorang kanak-kanak lelaki dan perempuan dipercayai berada di kolam renang premis berkenaan bersama ibu saudara mereka sebelum kejadian berlaku.
”Pengadu memaklumkan menerima panggilan telefon daripada adik perempuannya yang menyatakan anak perempuannya bersama anak saudaranya telah ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri di tepi kolam renang kondominium tersebut,” katanya di sini hari ini.
Beliau berkata, pengadu kemudiannya membawa kedua-dua mangsa ke sebuah hospital swasta di Bayan Baru untuk mendapatkan rawatan awal sebelum dirujuk ke Hospital Pulau Pinang (HPP) bagi rawatan lanjut.
Tambah Anuwal, pemeriksaan di lokasi mendapati kejadian berlaku di kolam renang tingkat 42 premis berkenaan dan tiada petugas kolam renang berada di lokasi ketika kejadian.
”Semakan rakaman televisyen litar tertutup mendapati ibu saudara mangsa membawa kedua-dua kanak-kanak ke kolam renang kira-kira pukul 8.30 pagi.
”Rakaman menunjukkan kedua-dua mangsa berjalan dari kolam kanak-kanak ke kolam orang dewasa sebelum ditemui tidak sedarkan diri oleh orang awam,” jelasnya.
Menurut beliau, pengadu dan keluarganya menginap di sebuah unit homestay di kondominium tersebut sejak Jumaat lalu dan dijadualkan pulang pada hari ini sempena percutian keluarga.
Setakat ini, katanya, seorang mangsa masih berada dalam keadaan kritikal dan sedang dirawat di unit rawatan rapi, manakala seorang lagi mangsa dilaporkan sedar dan menerima rawatan lanjut di wad kanak-kanak HPP. – KOSMO! ONLINE

10 hours ago
3


![[VIDEO] Harimau muncul lagi di Ulu Tembeling, mana pihak berwajib?](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/01/WhatsApp-Image-2026-01-11-at-5.46.39-PM.jpeg)














![[VIDEO] ‘Tinggi Siti melompat, tenaga memang no 1’](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/01/ct.jpeg)































