Cakaran misteri angkara makhluk halus

6 hours ago 3

KERJAYA wartawan sememangnya mencabar, walaupun ada yang melihat tugas tersebut glamor kerana boleh bertemu dengan insan-insan hebat.

Lebih gah, hanya individu yang berkerjaya tersebut boleh menyoal menteri atau perdana menteri soalan-soalan ‘panas’ dan sensitif.

Mitos kali ini memaparkan kisah seram melibatkan seorang wartawan sambilan yang ‘disantuni’ makhluk halus ketika bertugas sepanjang kempen Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) kira-kira 12 tahun lalu.

Menurut Fazli Isa yang berusia awal 50 tahun, walaupun bergelar pemberita sambilan, namun tugas tersebut dipikul dengan penuh komitmen bagi memastikan tiada berita kempen ‘discoop’ oleh agensi berita lain.

“Kisah seram ini berlaku semasa saya bertugas pada musim PRU13. Program kempen diadakan selama dua minggu tidak mengira siang dan malam.

“Peristiwa menyeramkan tersebut berlaku semasa saya tidur di hotel bajet di sebuah bandar di Selangor,” katanya ketika ditemui di Banting baru-baru ini.

Fazli  berkata, mana-mana wartawan yang bekerja semasa kempen pilihan raya perlu bersedia dari segi fizikal dan mental untuk menghadapi kempen turun naik.

“Kadang-kadang ceramah kempen berlangsung dalam keadaan aman sentosa, bermula dari pukul 9 malam hingga pukul 12 tengah malam.

“Ada masa mood kempen menjadi tegang apabila ada isu yang panas diutarakan oleh penceramah jemputan atau calon pilihan raya sendiri.

“Situasi begini menyebabkan wartawan perlu segera mengarang berita selepas program bagi memastikan ia boleh diterbitkan untuk edisi keesokannya,” katanya.

Jelasnya lagi, kisah menakutkan tersebut berlaku pada minggu kedua pilihan raya. Ceramah kempen dan isu-isu yang dibangkitkan pula menyebabkan dirinya mula letih serta lesu. 

Fazli memberitahu, pada malam kejadian, kempen tamat pada pukul 12 tengah malam iaitu waktu terakhir  ceramah atau permit berkempen dibenarkan untuk semua calon.

“Badan pun ketika itu sudah letih. Kepala terasa berat selepas mendengar tiga jam ceramah. 

“Selepas ‘melilau’ mencari hotel bajet, akhirnya terjumpa sebuah hotel bajet kira-kira pukul 2 pagi,” katanya.

Selepas menempah bilik, Fazli berkata, dia terus masuk ke bilik tersebut.

Setelah lampu dipasang, beg sandang terus dicampak di dalam almari dan kamera digital diletakkan berhati-hati di tepi kepala katil.

“Daripada pemerhatian saya, bilik yang sederhana besar itu cukup selesa untuk dua orang. 

“Katil kayu dan cadar berwarna putih. Tilam tebal dan masih kuat spring di dalamnya,” katanya.

Selesai mandi, Fazli berkata, dia terus mengecas telefon pintar, sebelum tidur.

Luar hotel tersebut juga sunyi sepi, tiada langsung aktiviti orang ramai atau anjing dan kucing berkeliaran. Fazli ada merasakan sesuatu yang tidak kena, tetapi sebab terlalu mengantuk, dia terus terlelap. 

“Saya masih ingat, kira-kira pukul 2.30 pagi. Setelah meletakkan kepala di bantal empuk, kelopak mata saya memberat seakan digam.

“Rasanya seperti baru saya melelapkan mata, tiba-tiba telinga saya menangkap bunyi azan. Saya tengok jam di telefon sudah pukul 5.30 pagi,” katanya.

Sewaktu bangun pada awalnya, dia tidak berasa apa-apa yang mencurigakan. 

Oleh kerana teringatkan dia mesti bersedia awal membuat liputan program calon bertanding, dia kelam-kabut bangun untuk mandi dan solat subuh.

“Saya segera buka air pancuran sambil membersihkan seluruh badan dengan pantas menggunakan sabun.

“Namun, saya berasa terkejut apabila tiba-tiba berasa pedih pada badan. Selepas diperiksa saya dapati ada cakaran di bahagian dada dan perut saya! Kombinasi air serta syampu membasahi luka cakaran yang masih terdapat kesan darah membuatkan berasa pedih,” katanya.

Fazli yang tidak pernah mengalami peristiwa sedemikian seumur hidupnya berkata, dia kemudian segera membilas sabun dan mengeringkan badan.

Tiba-tiba perasaan seram sejuk menerpa dirinya dan hati mula berkata, dia perlu segera beredar dari hotel bajet tersebut.

“Entah hantu mana punya kerja mencakar badan saya semasa tidur. Elok sahaja ada kesan lima jari di dada kiri dan kanan serta perut, bahagian belakang pun ada.

“Saya terus bersiap tidak sampai 10 minit. Saya hendak keluar secepat mungkin dari bilik puaka tersebut,” ujarnya.

Semasa bersiap untuk keluar, dia perasan banyak pijat-pijat di tepi tilam tersebut. Namun jelasnya, luka-luka di badannya sudah pasti bukan kerja serangga ‘comel’ itu.

Hal ini kerana kesan cakaran tersebut jelas sekali berpunca daripada kuku yang runcing.

“Hendak kata luka-luka di badan saya sebab serangga tersebut menggigit memang tidak logik kerana lukanya memanjang. Itulah kali akhir saya bermalam di hotel bajet tersebut. 

“Walaupun tidur tidak sampai empat jam dan membayar sewa bilik RM150, namun pengalaman seram itu memang masih segar dalam ingatan,” jelasnya.

Walaupun peristiwa seram itu menjadi episod pahit sepanjang bergelar wartawan sambilan, namun dia juga bersalah kerana masuk ke tempat ‘orang’ secara tidak beradab.

Semasa masuk ke bilik hotel bajet tersebut, tiada ucapan salam diberi dan ayat-ayat suci al-Quran dibaca.

“Salah saya juga tidak bagi salam pada penghuni bilik. Itu yang menjadi punca dia marah sampai saya dicakar macam watak adiwira, Wolverine.

“Sekadar berkongsi maklumat, hotel bajet tersebut masih ramai penyewanya hingga ke hari ini.

“Bagi saya, biarlah saya tidur dalam kereta sepanjang baki kempen pilihan raya umum tersebut, walaupun saya boleh buat tuntutan perbelanjaan daripada pihak syarikat.

“Alhamdulillah, tiada gangguan sepanjang tidur di dalam kereta,” katanya mengakhiri wawancara.

Read Entire Article
Pertanian | | | |