Bolehkah wanita Islam ikut trend body tea?

1 week ago 10

BARU-BARU ini, tular trend body tea di media sosial yang melibatkan wanita-wanita termasuklah mereka beragama Islam. Trend tersebut bertujuan mempamerkan bentuk badan wanita sehingga mendapat kritikan oleh masyarakat. Mohon ulasan.

JAWAPAN: Islam sangat memuliakan dan meninggikan kedudukan wanita sehingga mereka bukan sahaja dianggap sebagai manusia setaraf dengan lelaki dari sudut perhambaan kepada Allah SWT, bahkan turut diberikan penghormatan tinggi dalam aspek hak, maruah dan tanggungjawab. Begitu banyak kelebihan wanita yang disebutkan dalam nas-nas sahih seperti kelebihan bagi wanita yang menjaga kehormatan.

Berdasarkan sepotong hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah bin ‘Amr RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Dunia adalah perhiasan dan sebaik-baik perhiasan dunia adalah wanita yang solehah.” (Riwayat Muslim)

Berdasarkan hadis ini, Imam al-Qurtubi menjelaskan, ciri-ciri wanita solehah iaitu wanita yang apabila dipandang oleh suaminya, maka dia menyejukkan hati dan menyenangkan jiwa, wanita yang mentaati segala perintah suami serta wanita menjaga kehormatan diri dan harta ketika ketiadaan suaminya.

Tafsiran ini adalah berdasarkan kepada hadis lain, di mana Abdullah bin ‘Abbas meriwayatkan daripada Nabi SAW: “Hendakkah aku beritahukan tentang sebaik-baik harta seorang lelaki adalah wanita yang solehah. Apabila dia melihat kepadanya, dia akan menggembirakan, apabila dia memberi arahan kepadanya wanita itu taat, dan apabila dia tidak berada di sisinya, wanita itu menjaga maruah dirinya.” (Riwayat Abu Daud)

Tambahan pula, al-Tibiy menyatakan bahawa syarak secara khusus membicarakan perihal wanita serta membataskannya dengan sifat solehah untuk menunjukkan bahawa wanita itu akan menjadi seburuk-buruk perhiasan dunia sekiranya mereka tidak memiliki ciri-ciri tersebut. Justeru, apabila wanita tidak bersifat dengan sifat-sifat wanita solehah yang bertujuan mencegahnya daripada melakukan keburukan, maka dikhuatiri mereka akan menjadi punca kepada kerosakan

Perbuatan mempamerkan bentuk tubuh secara terbuka bukan sahaja boleh mendorong kepada pandangan haram dan penuh nafsu, bahkan perbuatan trend yang menyimpang ini boleh menimbulkan fitnah kepada diri sendiri serta menjejaskan maruah seorang wanita.

Hal ini berpunca daripada tindakan yang sengaja membuka ruang kepada orang lain untuk memandang dengan niat salah. Lebih dahsyat lagi, jika video atau gambar yang dimuat naik mengundang kepada gangguan seksual dalam talian melalui komen-komen atau ejekan tidak senonoh.
Islam mengajak untuk menutup pintu fitnah dengan memerintahkan penjagaan aurat, adab berpakaian dan larangan membuka ruang kepada perbuatan yang boleh merosakkan keharmonian sosial. Justeru trend tidak bermoral sebegini perlu dielakkan agar tidak menjadi satu fenomena negatif.

Wanita muslimah perlu sedar bahawa nilai sebenar diri tidak terletak pada rupa paras atau bentuk tubuh tetapi pada iman, akhlak dan ilmu. Sebagai wanita, peranannya amat besar kepada agama dan negara.

Wanita sepatutnya menyumbangkan tenaga, ilmu serta kepakaran dalam perkara yang membawa kemajuan dan kesejahteraan masyarakat, bukannya terlibat dengan hal meruntuhkan akhlak dan merosakkan nilai kemanusiaan.

Read Entire Article
Pertanian | | | |