‘Boleh tak nak beli laptop guna duit syiling?’

1 day ago 7

PETALING JAYA – Hasrat seorang remaja lelaki mahu membeli laptop atau komputer riba dengan menggunakan hasil tabungan duit syiling selama beberapa bulan mengundang sebak orang ramai.

Remaja tersebut yang dipercayai masih bersekolah membeli laptop tersebut di sebuah premis di Tawau, Sabah dan kisah itu kemudian dikongsikan di akaun TikTok kedai tersebut.

Menerusi hantarannya, remaja itu hadir ke premis berkenaan bersama ibu dan adik lelakinya dianggarkan berusia sekitar lima tahun.

“Masa dia masuk ke kedai, kami nampak dia bawa something (sesuatu). Rupa-rupanya ia adalah tabung berisi longgokan syiling. Bila dia sudah pilih laptop yang dia nak beli, budak lelaki itu tanya kami, ‘boleh ka tu kak, saya bayar guna syiling?’.

“Terus dia letak tabung penuh dengan syiling atas kaunter kami. Saya dengan perasaan hiba mendengar pertanyaannya itu pun jawablah, ‘ya boleh dik’, sambil menahan perasaan,” menurut perkongsian tersebut.

Sewaktu remaja itu berdiri di kaunter serta mengira duit syiling berkenaan, seorang ketua di premis tersebut melihat situasi itu serta bertanya kepadanya berkenaan duit tabungan tersebut.

“Lama sudah kamu tabung ini kan? Duit baki belanja sekolah ke? Dia jawab ‘ada juga yang saya pungut-pungut di siring jalan’. Masa itu terus kami sebak. Terharu semua. Budak itu pun cerita, dia simpan duit ini selama beberapa bulan hanya semata-mata mahu beli laptop.

“Dia Bukan mahu main game (permainan video). Bukan untuk hiburan, tapi sebab dia mahu guna untuk belajar. Sangat berpandangan jauh dan ada cita-cita budak lelaki ini.

“Tanpa tunggu lama, bos kami pandang staf kami Rachel dan cakap, ‘syiling semua kita bagi dia balik ja. Anggap ini duit raya untuk dia’. Kami mahu menghargai semangat, usaha dan pengorbanan budak lelaki ini sebab dia mengingatkan kami tentang erti sebenar memberi,” menurut perkongsian berkenaan.

Remaja itu juga berkali-kali mengucapkan terima kasih selepas diberikan diskaun tersebut oleh pihak kedai.

“Sambil tunduk dan salam tangan bos kami. Sebelum itu, terduduk lagi dia mengucap syukur di lantai kedai. Kami semua terharu nampak, berkaca juga sikit mata kami.

“Sebenarnya, kami yang patut ucap terima kasih kepada dia. Sebab dia mengingatkan kami tentang perjuangan kami untuk menjadi akses kepada teknologi mampu milik pada semua orang terutama orang-orang di Sabah dan Sarawak yang jauh ketinggalan dalam arus teknologi,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |