Bapa dua anak aktif curi komponen, kabel pencawang demi dadah

1 week ago 11

KUALA NERANG – Kegiatan seorang bekas juruteknik syarikat telekomunikasi mencuri komponen pencawang termasuk kabel dengan pendapatan boleh mencecah RM6,000 sebulan bagi membeli dadah sejak kira-kira dua tahun lalu tumpas apabila dia ditahan pada 1 Oktober lalu.

Suspek lelaki berusia 37 tahun itu diberkas polis dalam serbuan di rumahnya di daerah Pendang, dekat sini.

Bapa kepada dua anak terbabit disyaki terlibat dalam kecurian komponen pencawang syarikat telekomunikasi dengan jumlah kerugian melebihi RM600,000 di lima daerah iaitu Padang Terap, Kota Setar, Yan, Pendang dan Kuala Muda.

Ketua Polis Daerah Padang Terap, Superintendan Abdull Razak Osman berkata, pihaknya menerima dua laporan berkaitan kejadian kecurian komponen tersebut di lokasi berasingan di Kampung Tanjung dalam daerah Padang Terap pada 30 September lalu.

“Beberapa peralatan dan komponen komunikasi dilaporkan hilang dalam kejadian itu yang melibatkan kerugian dianggarkan kira-kira RM112,000,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Terap, di sini hari ini.

Menurutnya, hasil risikan pantas Bahagian Siasatan Jenayah IPD Padang Terap dengan kerjasama Bahagian D4 Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah berjaya menahan tiga suspek.

“Suspek pertama berusia 37 tahun dipercayai pelaku utama jenayah curi tersebut dan ditahan kurang tiga jam selepas laporan diterima. Dua lagi suspek warga tempatan berusia 31 dan 51 tahun yang disyaki pembeli barang curi turut ditahan pada hari sama di sekitar Alor Setar,” ujarnya.

Abdull Razak berkata, polis turut merampas beberapa komponen alat komunikasi dan pencawang yang dipercayai mempunyai kaitan dengan dua laporan polis berkenaan.

“Kita juga merampas beberapa peralatan yang dipercayai digunakan suspek untuk melakukan kegiatan jenayah itu. Ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine serta mempunyai empat rekod dadah,” jelasnya.

Katanya, suspek dipercayai melakukan kegiatan tersebut pada waktu awal pagi dengan lokasi pencawang di kawasan pedalaman dengan hasil jualan barang curi digunakan untuk membeli dadah bagi melepaskan ketagihannya.

“Dengan penahanan suspek ini, kita percaya berjaya menyelesaikan 21 kes kecurian komponen pencawang telekomunikasi di empat daerah lain,” katanya.

Tambahnya, ketiga-tiga suspek masih dalam tahanan reman dan kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |