Auddra, Zarif Ghazzi sedang ingin melompat lebih tinggi

6 hours ago 4

TIRAI tahun 2025 sudah dilabuhkan, sekali gus menutup cerita penuh tawa bersulam duka menghiasi radar berita industri hiburan tanah air.

Pentas seni terus berputar, menyaksikan jatuh bangun insan bergelar selebriti, malah tidak pernah sepi daripada naratif perjuangan, air mata dan harapan.

Ketika utuhnya gerombolan selebriti senior mencari strategi kerelevanan, tidak kurang juga lambakan artis baharu tumbuh ‘menjual’ nama, mempertaruhkan bakat demi sekeping ruang kepercayaan.

Sisipan HibGlam hari ini menggabungkan dua bintang muda, Auddra dan Zarif Ghazzi yang berbeza latar, namun berkongsi impian sama iaitu mencipta jejak tersendiri tanpa menumpang bayang sesiapa.

Dilihat hadir mempamerkan kesungguhan membina karier, selayaknya Auddra dan Zarif diramalkan bakal meledakkan pencapaian indah 2026 masing-masing, sekiranya momentum sedia ada terus dipacu tanpa salah perhitungan.

Dimulakan dengan remaja lincah, Auddra yang kian meniti di bibir ramai. Meski baru menapak dalam dunia hiburan, pesona puteri pasangan pelakon Sharifah Shahira dan Ijoy itu semakin menyerlah.

Nama si cantik itu mula mencuri perhatian penonton terutama selepas memenangi tempat ketiga pertandingan realiti Talk To My Manager tahun lalu.

Bersandarkan wajah manis, aura bertenaga serta keyakinan luar biasa di pentas, ramai menyifatkan gadis berusia 17 tahun itu sebagai bintang remaja dengan pakej lengkap.

Bersyukur graf karier mula menanjak, pemilik nama sebenar Auddra Zulkifli itu enggan leka, persiapan sudah mantap, sasarannya jelas.

ZARIF Ghazzi paling takut memikirkan jangkaan khalayak, manakala Auddra pula risau tersilap langkah memalukan nama baik keluarga, dua emosi yang menjalar dalam darah dua pucuk muda itu sebenarnya satu bekal untuk mekar pergi jauh dalam dunia seni.

Peluru sudah siap!

Datang ke industri bukan semata-mata menunggang nama keluarga, Auddra mengakui perancangan 2026 sudah disusun rapi termasuk pelancaran single baharu serta agenda album penuh.

“Saya sangat bersyukur dengan kejayaan tahun lepas. Tahun ini saya berjanji akan berusaha sehabis mungkin untuk industri seni dan membuktikan diri ini ada nilai serta sesuatu untuk ditawarkan.

“Sasaran saya mahu terus berkembang dan bakal melancarkan single terbaharu bergenre M-pop dengan konsep tarian penuh. Projek ini sedang dalam proses dan akan dilancarkan tidak lama lagi, disusuli perancangan menghasilkan album penuh tahun ini.

“Sebab itu saya kerja keras masuk kelas vokal dan tarian. Harapnya bila lagu baharu dilancarkan, saya dapat lebih banyak ‘show’ dan memiliki pangkalan peminat kukuh seperti Dolla atau Alpha,” katanya kepada HibGlam.

Meskipun baru bertatih, harapan cucu kepada Seniwati Maria Arshad itu cukup besar, dia mahu menerokai semua cabang seni termasuk lakonan dan pengacaraan sehingga menjadi artis serba boleh persis ibunya.

“Walaupun minat utama menyanyi, saya mahu beranikan diri mencuba cabang seni lain. Usia masih muda, banyak perkara perlu dan boleh dipelajari. Saya suka meneroka dan mencabar had kemampuan diri.

“Kalau ada tawaran berlakon, saya boleh terima. Pengacaraan pun saya terbuka. Menyanyi sudah tentu, saya sedia. Pendek kata, saya mahu cuba segalanya,” ujarnya.

ENGGAN main-main, Auddra mengakui kini dalam proses menyiapkan single terbaharu yang bakal dilancarkan tidak lama lagi disusuli persiapan untuk album penuh.

Junjung pesan keturunan seni

Enggan tersalah langkah, anak ketiga daripada lima beradik itu mengakui, berpegang teguh pada nasihat ahli keluarga, terutama ibunya yang terlebih dahulu ‘makan garam’ dan sudah matang dengan sepak terajang dunia seni.

“Saya selalu tanya mama apa sesuai dengan diri saya dan apa patut buat. Kita memang kena percaya naluri seorang ibu. Dialah yang membesarkan kita, dia lebih tahu.

“Ibu saudara saya, Sharifah Sakinah juga banyak beri pesanan agar pandai membawa diri. Ahli keluarga memang selalu beri nasihat supaya berhati-hati dengan perkara tertentu.

“Walaupun dilahirkan dalam keluarga seni, mama ajar supaya berdikari. Dia pesan, jangan ambil mudah, kena bersungguh-sungguh selain berdiri atas kaki sendiri. Saya bersyukur dikelilingi insan seperti mereka, jadi saya tahu hala tuju lebih tepat,” jelasnya.

Dikelilingi keluarga berdarah seni, Auddra tidak menafikan wujud tekanan dan kebimbangan andai suatu hari nanti langkahnya tersasar lalu mengecewakan nama besar keluarga.

“Agak tertekan juga sebab saya takut satu hari nanti saya mengecewakan mereka. Tanggungjawab itu sangat besar sebab saya membawa nama keluarga, bukan sebelah mama sahaja, sebelah papa juga, ada nenek, Maria Arsyad.

“Setiap kali buat sesuatu, saya akan fikir apa pandangan ibu bapa dan keluarga. Apa perasaan mereka. Saya tak mahu memalukan keluarga, tak mahu rosakkan nama,” tuturnya.

BARU masuk tahun ketiga dalam industri seni, Zarif bersyukur bakat dan usahanya pantas diterima khalayak selain terus diintai barisan karyawan darama atau filem. – SHIDDIEQIIN ZON

Tuah 2026

Menoleh ke arah perjalanan seni aktor muda berbakat besar, Zarif Ghazzi pula, jejaka tinggi lampai itu tidak kurang hebatnya melakar nama sepanjang 2025.

Lakonannya memukau penonton dengan kualiti setara pelakon senior, terutama menerusi drama fenomena Seribu Tahun yang melonjakkan namanya ke radar utama industri.

Terus mendakap tuah, aktor tampan berusia 22 tahun itu meledak apabila ditawarkan pelbagai naskhah sehingga jadual 2026 hampir penuh dengan projek filem serta deretan drama berskala besar.

Meskipun setahun jagung dalam industri, pemilik nama penuh Zarif Farahi Effie Ghazzi mampu menarik nafas lega apabila bakatnya semakin diperakui, sekali gus meraih kepercayaan ramai karyawan untuk digandingkan dengan pelakon papan atas.

“Saya bersyukur karier semakin menjadi dan ditawarkan banyak naskhah. Perasaan itu bercampur-baur sebab inilah impian saya sejak tingkatan satu. Bila sudah dapat, memang terkejut, tapi saya cuba kawal supaya tak berlaku kejutan budaya.

“Insya-Allah, tahun ini saya akan debut dalam filem pertama tapi buat masa ini belum boleh didedahkan.

“Saya juga sedang membuat persiapan untuk siri Astro Originals yang akan ditayangkan sekitar Oktober atau November 2026.

“Itu mungkin projek terbesar saya setakat ini. Dalam masa sama, ada dua lagi drama sudah ‘lock’ untuk penggambaran,” kongsinya.

Memanfaatkan setiap peluang, si tampan itu enggan sekadar berpeluk tubuh sebaliknya berusaha keras memperbaiki mutu lakonan agar tidak dilabel pelakon kayu, stigma lazim buat pendatang baharu.

“Jujur, awalnya saya tak pandai berlakon. Saya masuk industri dengan satu keyakinan, kononnya ada darah seni daripada pelakon dari ibu saudara saya iaitu Noryati Taib. Hakikatnya, saya tak lahir dengan bakat semula jadi.

“Saya bersyukur dipertemukan pengarah Shahrulezad yang sangat menekankan cara pelakon bekerja di set.

“Walaupun tak pandai berlakon, bila jumpa pengarah yang tahu bimbing, barulah lakonan jadi lebih meyakinkan. Semua itu juga hasil doa ibu, doa keluarga,” luahnya.

ZARIF dan Auddra, dua nama yang dijangka mengisi kalendar 2026 dengan catatan lebih matang dan mencorakkan haluan seni mereka ke tahap lebih tinggi.

Takut jatuh

Di sebalik karier yang meroket pantas, pemenang Selebriti Newcomer Terhangat Anugerah Melodi Terhangat 2025 itu tidak menafikan wujud rasa takut, terutama apabila ekspektasi diletakkan terlalu tinggi.

“Satu perkara paling saya takut adalah jangkaan. Apabila orang letak harapan tinggi, lebih-lebih lagi bila menang atau tercalon anugerah. Sebab itu kalau saya tak menang, saya okey sahaja sebab takut terkenal tetapi tiada kualiti.

“Umur saya baru 22 tahun, perjalanan masih panjang. Lebih baik saya kumpul pengalaman, tambah ilmu lakonan, fahami ekspresi wajah, bahasa tubuh, daripada kejar populariti semata-mata.

“Sebab itu setiap hari sebelum ke set, saya akan buat panggilan video dengan ibu. Saya minta ibu doakan keselamatan saya, dijauhkan daripada perkara tak perlu, dilindungi dunia dan akhirat,” dedahnya.

Menutup perbualan, apabila ditanya soal sasaran anugerah, Zarif tidak berselindung tentang impian terbesarnya.

“Insya-Allah, tahun ini kalau ada rezeki, saya sasarkan Gempak Most Wanted. Tapi kalau tanya impian sebenar, Festival Filem Malaysia sudah tentu menjadi kemuncak. Itu sasaran paling besar, “ tutupnya.

Foto SHIDDIEQIIN ZON
Solekan ELMANDA ZUHAIRY
Penata Gaya NANACHAH & HAZIM
Busana: KITA & CO dan KOLEKSI NANACHAH
Read Entire Article
Pertanian | | | |