Atuk didenda RM9,000 ‘salotape’ nombor plat isi RON95

4 days ago 10

KULAI – Seorang lelaki warga emas dikenakan denda RM9,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan mempamerkan nombor pendaftaran kenderaan Singapura yang diubahsuai dengan menggunakan ‘salotape’ untuk mengisi minyak petrol RON95 di sebuah stesen minyak di sini, awal tahun ini.

Majistret R. Salini membuat keputusan itu selepas Orang Kena Saman (OKS), Long Sa Kow, 64, yang juga Penduduk Tetap (PR) Singapura mengaku bersalah sejurus pertuduhan dibacakan dalam Bahasa Inggeris oleh jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan, Sa Kow didakwa sebagai pemandu kereta Volkswagen Jetta mempamerkan nombor pendaftaran yang bukan milik kenderaan tersebut.

Perbuatan itu dilakukan lelaki berkenaan di sebuah stesen minyak di sini pada pukul 10.30 malam, 2 Januari lalu.

Pertuduhan dikemukan mengikut Seksyen 108(3)(e) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333/87) yang boleh dihukum dibawah seksyen dan akta yang sama.

Jika sabit kesalahan, OKS boleh dikenakan hukuman denda sehingga RM20,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, S. Thiviya manakala OKS diwakili peguam bela Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Sharmaine Fairuz Mohd Zulkifli.

Dalam rayuannya, Sharmaine memohon agar mahkamah mengenakan hukuman ringan dengan alasan OKS sudah bersara dan tidak mempunyai pendapatan tetap selain menanggung isteri serta dua orang anak yang masih belajar.

Thiviya bagaimanapun membantah rayuan itu dengan memberikan hujah pemberat supaya hukuman dikenakan ke atas OKS memberi hukuman pencegahan dan pengajaran kepada lelaki itu supaya tidak mengulangi kesalahan itu.

“Mahkamah juga untuk meneliti mengubah nombor plat pendaftaran kenderaan demi mengisi RON95 yang diberikan hanya untuk rakyat Malaysia adalah satu kesalahan. Hukuman yang berat perlu dilaksana demi menjaga kepentingan awam supaya tidak memberi pengajaran agar tidak mengulangi kesalahan ini.

Majisret kemudiannya menjatuhkan hukuman denda RM9,000 dan jika tidak bayar, OKS diarahkan menjalani hukuman penjara sembilan bulan. OKS bayar denda tersebut.

Mengikut fakta kes, Berdasarkan fakta kes yang diakui benar oleh OKS, pada 4 Januari lalu, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai telah mengesan satu video di Facebook (FB) yang memaparkan sebuah Volkswagen Jetta berwarna perak sedang mengisi minyak RON95 di sebuah stesen minyak di daerah ini.

Difahamkan, hasil siasatan mendapati, OKS sebagai pemandu kenderaan yang sepatutnya bernombor pendaftaran SLJ 8967 M telah menutup huruf S dan M pada nombor pendaftaran itu bagi mengisi minyak subsidi RON95.

Hasil pemeriksaan pada nombor enjin dan nombor chasis kenderaan berkenaan adalah milik kenderaan bernombor pendaftaran SLJ 8967 M dan bukan LJ 8967.-KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |