Angka, data penting bentuk dasar pembangunan negeri – Wan Rosdy

2 hours ago 1

LIPIS – Data dan angka memainkan peranan penting dalam membantu kerajaan negeri merancang serta membuat keputusan berasaskan fakta.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, angka bukan sahaja penting untuk individu, malah turut menjadi asas kepada pentadbiran kerajaan dalam menentukan dasar serta hala tuju pembangunan negeri.

“Angka dan data itu sangat penting dalam kehidupan seharian kita. Bukan sahaja untuk individu tetapi untuk kerajaan bagi membantu kita membuat keputusan.

“Sebagai contohnya, kerajaan negeri akan membentangkan bajet pada akhir tahun ini di mana kita bercadang untuk memberi bantuan untuk urusan pengkebumian, jadi kita kena tahu data. Daripada angka tersebut kita boleh tentukan berapa yang kita nak bagi dan sebagainya,” katanya pada Majlis Hari Statistik Negara dan Sedunia 2025 Peringkat Kebangsaan di Dewan Terbuka Laman Sejahtera, Sungai Koyan, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, beliau turut mengulas mengenai buku data yang bakal diedarkan kepada semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) sebagaimana diumumkan oleh Ketua Perangkawan Negara, Datuk Seri Dr, Mohd Uzir Mahidin sebelum ini.

Menurutnya, buku data berkenaan akan diedarkan pada akhir November ini selepas kemas kini statistik terkini tahun 2025 diterbitkan.

Dalam pada itu beliau berkata, kerajaan negeri mensasarkan untuk menambah jumlah daerah bahagia di Pahang kepada empat pada masa akan datang berbanding dua setakat ini iaitu Raub dan Lipis.

“Saya tidak memilih mana-mana daerah, tetapi saya harap semua daerah berusaha untuk dapat menambahkan daerah bahagia. Saya beritahu kepada semua pegawai daerah, Yang Dipertua Majlis, dan Setiausaha Kerajaan Negeri kita jangan berpuas hati dengan dua daerah sahaja, kita nak tambahkan lagi tapi kita kekalkan daerah Raub dengan Lipis,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |