KUALA LUMPUR – Belum reda kesedihan kehilangan anak lelaki, pasangan warga emas berusia 71 dan 65 tahun kini berdepan gangguan along yang ‘diwariskan’ oleh anaknya dan dituntut untuk melangsaikan hutang mendiang sehingga RM28,000.
Ketua Biro Perkhidmatan Awam dan Aduan MCA, Datuk Seri Michael Chong berkata, anak bongsu pasangan itu yang berusia 35 tahun meninggal dunia pada 1 Julai lalu, manakala keluarga mendakwa tidak mengetahui dia mempunyai masalah hutang dengan pemberi pinjaman wang.
Menurutnya, keluarga hanya mengetahui perkara tersebut selepas premis perniagaan mereka di Kampung Baru Sungai Buloh disimbah cat kuning pada 5 Ogos lalu bersama nota mendakwa mendiang gagal membayar pinjaman.
“Gangguan tidak berhenti di situ apabila premis sama disimbah cat coklat pada 6 Ogos dan cat merah dua hari kemudian. Kereta pelanggan yang datang ke kedai juga menjadi sasaran.
“Individu yang menggelarkan dirinya sebagai ‘Lawrence’ mendakwa, mendiang mempunyai hutang RM10,000 dengan faedah RM3,000, tetapi keluarga turut dikenakan caj RM5,000 setiap kali mereka menyimbah cat,” katanya pada sidang akhbar di Wisma MCA, hari ini.
Michael berkata, tiga kejadian simbahan cat menyebabkan caj tambahan RM15,000 dikenakan, sekali gus menjadikan keseluruhan tuntutan sebanyak RM28,000 sebelum keluarga ditawarkan ‘diskaun’ untuk membayar RM25,000.
“Ini taktik baharu mereka. Mereka sembur cat kemudian caj mangsa RM5,000 untuk setiap simbahan. Peminjam sudah meninggal dunia pun mereka masih memburu keluarganya untuk mendapatkan wang,” katanya.
Sementara itu, ibu mangsa, Lai, 65, berkata, pada hari gangguan pertama berlaku, seorang penghantar Lalamove turut datang ke premis mereka bagi mengambil tiga unit pemampat udara selepas mendakwa menerima tempahan untuk berbuat demikian.
“Pekerja kami tidak membenarkannya mengambil barang kerana kami tidak pernah membuat tempahan. Anak saya pula sudah meninggal dunia pada 1 Julai dan kami langsung tidak tahu mengenai hutang ini,” katanya.
Menurut Lai, mendiang merupakan seorang yang pendiam dan jarang berkongsi masalah dengan keluarga, malah pada malam sebelum kematiannya, dia masih menikmati masakan ibunya serta memuji hidangan tersebut.
Peguam keluarga, Chau berkata, gangguan turut berterusan menerusi WhatsApp dan WeChat termasuk mesej yang mencabar keluarga membuat laporan polis, selain tuntutan bayaran dihantar kepada isteri mendiang walaupun pihak terbabit mengetahui dia sudah meninggal dunia.
Dalam pada itu, Michael berkata, pihaknya menerima 226 kes berkaitan Along membabitkan kerugian melebihi RM21 juta setakat ini, manakala empat kes kematian akibat bunuh diri dan dua percubaan bunuh diri berkaitan masalah tersebut direkodkan tahun ini. – KOSMO! ONLINE

4 hours ago
4















































