‘Anak bapak’ suara sedap, serupa ‘copy paste’

19 hours ago 5

DUNIA hiburan terutama arena seni suara dibanjiri ramai bakat baharu selain penyanyi sedia ada yang mempunyai pelbagai kelebihan tersendiri.

Di persada seni tempatan, ada dalam kalangan anak seni yang bertuah dilahirkan daripada keluarga popular juga penghibur hebat.

Begitupun, ramai di antara penyanyi muda yang mempunyai bapa atau ibu bergelar artis tidak hanya menumpang populariti orang tua, sebaliknya mampu berdiri di kaki sendiri.

HibGlam menyenaraikan empat penyanyi muda yang menyerlah menerusi bakat serta vokal hebat seperti bapa masing-masing.

Syafik Farhain – Saleem

MULA dikenali ramai selepas aktif dalam platform Smule, Syafiq Farhain seterusnya menyertai program pertandingan realiti Big Stage musim pertama pada tahun 2016.

Ketika itu populariti anak kepada penyanyi Saleem itu melonjak selepas identitinya sebagai putera vokalis kumpulan popular Iklim tersingkap.
Vokal pegawai bomba yang saling tidak tumpah membuatkan ramai peminat menyamakannya dengan Saleem.

Kini, pada usia 31 tahun, pemilik nama lengkap Nursyafiq Farhain A.M Salim itu terus melangkah di arena suara dan menempah tempat tersendiri selepas pemergian bapanya pada 14 Oktober 2018.

Zaki Yamani – Jamal Abdillah

BARU mencecah usia 18 tahun, namun bakat dimiliki anak kedua kepada Raja Pop Datuk Jamal Abdillah, Zaki Yamani tidak mampu disangkal.
Seperti ayahnya, penyanyi remaja yang berjinak-jinak di arena seni suara mempunyai vokal unik dengan lontaran padu sehingga meraih pujian ramai.
Juara program realiti Famili Duo musim dua bersama abangnya, Osama itu nyata membina langkah tersendiri tanpa menumpang nama Jamal.
Seiring waktu, Zaki atau nama sebenarnya Ahmad Zaki Yamani Jamal Ubaidillah kini mempunyai kelompok peminat tegar, selain tampil bersama single solo serta lagu duet bersama bapanya dan Osama.

Putra Ahmad Merrah – Awie

ANAK lelaki vokalis Wings Datuk Awie, Putra Ahmad Merrah semakin dikenali kerana mewarisi bakat vokal seperti bapanya. Lebih dahulu diperkenalkan ke dunia lakonan, hakikatnya bakat pelajar Sekolah Seni itu cenderung ke arah muzik dan nyanyian. Nama Merrah menjadi sebutan selepas duetnya dengan Datuk Seri Siti Nurhaliza menyanyikan lagu Senja Nan Merah. Ini kerana rata-rata teruja melihat perwatakannya yang mengikuti Awie, bahkan suaranya juga mirip penghibur tersohor itu. Merrah kini semakin banyak menerima tawaran menyanyi, malah impiannya berubah mahu mengikuti jejak Awie bergelar penyanyi.

Hadie Elfardie – Suhaimi Saad

BARU berkecimpung dalam dunia nyanyian atas galakan ibu, Hadie Elfardie anak kepada penyanyi nasyid Allahyarham Suhaimi Saad dikatakan mempunyai personaliti istimewa.
Biarpun suaranya seakan-akan si bapa, kecenderungan anak sulung daripada empat bersaudara itu lebih terarah ke jalur pop dan rock.
Momentum kerjaya seni remaja berusia 17 tahun itu semakin serius selepas menyertai program realiti Talk To My Manager.
Kini walau masih hijau melangkah di arena serba mencabar ini, bakat anak muda terbabit tetap meraih pujian apabila mampu membina identiti sendiri.

Read Entire Article
Pertanian | | | |