Aksi persahabatan perkukuh hubungan IPD Kajang, media

2 hours ago 1

BANGI – Semangat berpasukan dan ukhuwah menjadi tunjang utama perlawanan persahabatan bola sepak antara pasukan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang dan Persatuan Wartawan Jenayah (CiJA) yang berlangsung di Arena Sukan Azman Hashim, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), di sini semalam.

Perlawanan bermula pukul 8 malam itu bukan sekadar medan menunjukkan kehebatan di padang, tetapi juga platform mengeratkan hubungan antara penguat kuasa dan pengamal media dalam suasana santai dan mesra.

Aksi ketika hujan itu menyaksikan IPD Kajang memenangi perlawanan dengan jaringan lima gol berbalas tiga.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, perlawanan persahabatan bola sepak antara pasukan IPD Kajang dan CiJA telah berlangsung dengan semangat kesukanan dan ukhuwah.

Menurutnya, perlawanan ini dianjurkan bertujuan untuk mengeratkan hubungan antara pihak polis dan rakan media, di samping memperkukuh kerjasama strategik dalam penyampaian berita jenayah secara beretika dan profesional.

“Ini sekaligus mengeratkan hubungan silaturrahim selain komunikasi dua hala yang lebih mesra antara kami (polis) dengan wartawan.

“Secara tidak langsung, aktiviti riadah sebegini menyokong gaya hidup sihat dalam kalangan warga IPD Kajang khususnya,” katanya.

Hadir sama Timbalan Ketua Polis Daerah Kajang, Superintenden Mohamad Nasir Drahman.

Sementara itu, Presiden CiJA, Safeek Affendy Razali berkata, aktiviti ini mengumpulkan 20 petugas media daripada pelbagai agensi antaranya Sinar Harian, Berita Harian, Kosmo, Astro Awani, Bernama, Harian Metro, Utusan Malaysia dan The Star.

“Kami amat menggalakkan aktiviti sihat di kalangan petugas media selain menyahut seruan kerajaan sempena Hari Sukan Negara yang disambut baru-baru ini.

“Ini antara perlawanan persahabatan CiJA dengan pasukan polis bertujuan bagi merapatkan ukhuwah kami dengan pihak polis,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |