SELEPAS 25 tahun berkecimpung sebagai pelakon dalam industri perfileman Bollywood dengan berpuluh judul filem, Abhishek Bachchan belum pernah merasai pengalaman menggenggam trofi Pelakon Lelaki Terbaik Anugerah Filmfare.
Namun tahun ini, akhirnya detik yang paling ditunggu-tunggu oleh anak lelaki pelakon legenda, Amitabh Bachchan itu tiba apabila dia dinobatkan sebagai Pelakon Lelaki Terbaik anugerah terbabit menerusi filem, I Want To Talk.
Suami kepada Aishwarya Rai itu kelihatan sebak dan matanya berkaca saat memberikan ucapan ketika menerima anugerah tersebut.
“Tahun ini genap 25 tahun saya dalam industri perfileman dan saya tak ingat berapa kali saya mempraktikkan ucapan untuk anugerah ini. Ini adalah impian dan saya sangat terharu dan rendah diri. Menerima anugerah ini di hadapan keluarga saya menjadikannya lebih istimewa.
“Kepada Aishwarya dan Aardhya (anak perempuannya), terima kasih kerana membenarkan saya keluar dan mengejar impian saya. Saya harap dengan memenangi anugerah ini, mereka dapat lihat bahawa pengorbanan menjadi sebab utama saya berdiri di sini.
“Filem ini adalah tentang seorang bapa dan anak perempuan dan saya ingin mendedikasikannya kepada hero saya iaitu ayah saya sendiri serta kepada anak perempuan saya,” katanya.
Abhishek turut dilihat pergi ke arah ibunya, Jaya Bachchan dan memeluk aktres itu yang memandangnya dengan penuh rasa bangga. Pada acara sama, Jaya turut menjadi penerima trofi Cine Icon Award untuk 50 tahun penglibatan dalam industri Bollywood sejak era 1970-an.
Bagaimanapun, Aishwarya serta anak mereka tidak hadir ke acara berkenaan. Ketiadaan mereka berdua untuk menonton momen bersejarah itu telah mencetuskan spekulasi bahawa hubungan Aishwarya dan keluarga mentuanya sedang dingin.
Netizen mula berasa pelik kerana kakak serta anak saudara Abhishek turut hadir sementelah isteri dan anaknya sendiri tiada di sisi.
Kebiasaanya Aishwarya dan Aradhya sering menemani Abhishek ke acara penting.
Baru-baru ini, Aishwarya mencuri perhatian ramai di pertunjukan fesyen Loreal Paris sempena Minggu Fesyen Paris sambil ditemani anak kesayangan, Aradhya.