PETALING JAYA – Seramai tujuh delegasi Malaysia yang ditahan rejim Israel ketika menyertai misi kemanusiaan Freedom Flotilla Coalition (FFC) x Thousand Madleens to Gaza (TMTG) telah menandatangani Surat Pengusiran Jamin Pembebasan Segera.
Ketua Pegawai Eksekutif Humanitarian Care Malaysia (MyCARE), Kamarul Zaman Shaharul Anwar berkata, manakala status dua lagi delegasi masih belum diketahui berikutan peguam belum sempat berjumpa mereka.
Beliau berkata, pihaknya masih menunggu laporan penuh daripada peguam Pusat Undang-Undang bagi Hak Minoriti Arab di Israel (Adalah) mengenai perkembangan terkini proses pembebasan kesemua delegasi terbabit.
“Pihak MyCARE masih menunggu laporan penuh daripada peguam Pusat Undang-Undang bagi Hak Minoriti Arab di Israel (Adalah).
“Proses tribunal dijangka selesai pada tengah malam ini (waktu Malaysia),” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat MyCARE, di sini, hari ini.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan, semua sukarelawan Malaysia yang ditahan di penjara Ketziot di Negev, Israel, dinasihatkan supaya menandatangi Surat Pengusiran Jamin Pembebasan Segera.
Kamarul Zaman berkata, semua aktivis misi kemanusiaan FFC x TMTG itu akan dibebaskan dalam tempoh 72 jam selepas borang berkenaan ditandatangani.
Terdahulu media melaporkan, lapan rakyat Malaysia yang berada di atas kapal Conscience ketika ditahan tentera Israel ialah Ketua Delegasi Malaysia, Prof Emeritus Dr. Mohd. Alauddin, Dr Fauziah Mohd. Hassan, Dr. Hafiz Sulaiman dan Dr. Ili Syakira Mohd Suhaimi.
Selain itu, Prof Dr. Mohd. Afandi Salleh, Dr. Noorhasyimah Ismail, Norsham Abu Bakar dan wartawan Astro Awani, Syafik Shukri Abdul Jalil, turut berada di atas kapal sama.
Seorang lagi doktor perubatan, iaitu Dr. Maziah Muhammad pula berada di atas kapal Umm Saad.
Semua mereka sebelum ini bersepakat untuk menandatangi Surat Pengusiran Jamin Pembebasan Segera sekiranya ditahan oleh tentera Israel.
Penolong Ketua Delegasi Malaysia, Profesor Dr. Mohd. Afandi Salleh berkata, ini memandangkan mereka tidak mahu mengambil risiko berpanjangan susulan penahanan tersebut. – KOSMO! ONLINE