DUNIA kini sedang berhadapan dengan kesan perubahan iklim dan sumber semula jadi yang semakin berkurangan. Oleh itu, tumpuan kepada sumber tenaga boleh diperbaharui seperti daripada matahari telah meningkat.
Banyak negara telah mencapai kemajuan yang ketara dalam mengintegrasikan tenaga suria ke dalam penjanaan kuasa mereka, sekali gus memberikan contoh kepada negara lain dari segi penggunaan dan pembangunan infrastruktur.
Sehubungan itu, pada minggu ini CitaRasa kongsikan lima negara paling banyak menjana dan menggunakan tenaga solar di dunia seperti dilaporkan oleh Sun Save.
- ChinaCHINA mendominasi sektor tenaga suria dengan menghasilkan 77.8 peratus daripada panel solar dunia dan memiliki kapasiti suria 393 gigawatts (GW) pada 2022.
Menurut Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA), China membina lebih banyak panel solar pada 2023 berbanding yang dilakukan seluruh dunia pada 2022. Menjelang 2028, kira-kira 60 peratus daripada penjanaan tenaga boleh diperbaharui dunia akan berada di China. Ia menyasarkan membina 1,200GW kapasiti tenaga boleh diperbaharui menjelang 2030 dan nampaknya berada di landasan betul untuk mencapainya.

2. Amerika Syarikat
NEGARA Amerika Syarikat (AS), pengeluar sel solar terbesar di luar Asia dan pengguna elektrik kedua terbesar secara keseluruhan. Pada tahun 2022, AS mempunyai 113GW kapasiti solar yang dipasang iaitu hampir 1.5 kali ganda kapasiti solar Jepun. Pada tahun 2023, kapasiti tenaga solar di AS melonjak kepada 161GW dengan 4.7 juta pemasangan solar photovoltaic (PV) solar yang membekalkan 3.9 peratus daripada tenaga elektrik negara. Menjelang 2028, AS dijangka mencapai 377GW. Pun begitu, AS masih bergelut isu rantaian bekalan, kenaikan kadar faedah dan perubahan dasar khusus negeri pada panel solar yang boleh menjejaskan pertumbuhan masa depan.

3. Jepun
DENGAN lebih 83GW kapasiti solar terpasang pada 2022, Jepun menduduki tempat ketiga dalam senarai ini sebagai peneraju global dalam pembangunan solar. Tumpuan Jepun pada tenaga boleh diperbaharui adalah sebahagian daripada peralihan dasar daripada kuasa nuklear selepas insiden kemalangan loji Fukushima 2011.
Sasaran keseluruhannya ialah untuk kapasiti solar 108GW menjelang 2030 dan pelepasan sifar bersih menjelang 2050.
Tumpuan Jepun pada inovasi termasuk mempopularkan sel solar yang fleksibel dan menyepadukan panel solar ke dalam infrastruktur awam. Sebagai contoh, semua rumah baharu di Tokyo yang dibina pada 2025 wajib mempunyai panel solar.

4. India
DENGAN bercuaca cerah 300 hari setiap tahun dan permintaan yang semakin meningkat untuk tenaga bersih, India mencapai kapasiti tenaga solar sebanyak 63.2GW pada 2022. India melepasi sasaran kapasiti solar pada 2022 sebanyak 20GW dan kini komited untuk mencapai 500GW kapasiti boleh diperbaharui menjelang 2030 dengan tenaga suria dijangka menyumbang 280GW. Walaupun berdepan cabaran penyepaduan grid dan penyimpanan tenaga, inisiatif kerajaan India telah menyokong penggunaan solar yang meluas seperti skim Insentif Berkaitan Pengeluaran (PLI), lelongan Solar Energy Corporation of India (SECI) dan skim untuk petani iaitu Pradhan Mantri Kisan Urja Suraksha evam Utthaan Mahabhiyan (PM-KUSUM).

5. Jerman
JERMAN ialah peneraju Eropah bagi kapasiti solar dengan lebih 66.6GW dipasang pada 2022 iaitu lebih tiga kali ganda kapasiti Sepanyol, walaupun negara itu mempunyai lebih sedikit jam bermatahari. Jerman merancang untuk mencapai kapasiti solar 215GW menjelang 2030 atau 80 peratus daripada tenaga boleh diperbaharui dan menekankan komitmennya kepada solar sebagai sumber tenaga pusat. Rekod 1 juta sistem tenaga solar baharu telah dipasang pada 2023, sekali gus menambah 14GW pada grid Jerman dengan pemasangan kediaman menyumbang separuh daripada jumlah itu.

9 hours ago
1










![[VIDEO] ‘Tinggi Siti melompat, tenaga memang no 1’](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/01/ct.jpeg)



![[VIDEO] ‘Bersila luar stadium, kena scam tiket konset Siti Nurhaliza’](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/01/konsert-Siti-Nurhaliza-di-SNBJ-malam-tadi-ekoran-tiket-dibeli-adalah-scam..jpeg)


































