KLANG – Kelicikan sindiket menyeludup masuk 27 pendatang asing tanpa izin (PATI) secara runcit menggunakan bot nelayan selama dua malam gagal selepas ditangkap di kedudukan satu batu nautika barat daya muara Sungai Besar, Sabak Bernam, di sini semalam.
Kesemua PATI termasuk tujuh wanita berusia 22 hingga 70 tahun ditangkap kira-kira pukul 1 pagi selepas bot nelayan itu terkandas di muatan berkenaan akibat air surut.
Pengarah Maritim Selangor, Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata, siasatan mendapati kesemua PATI Indonesia tersebut pada awalnya ditransitkan di rumah penampungan di Tanjong Balai sebelum dibawa ke tengah laut menggunakan bot kecil.
Katanya, PATI berkenaan seterusnya akan dipindahkan secara runcit dalam bot nelayan di kawasan sempadan perairan Malaysia dan Indonesia.
“PATI ini berasal dari beberapa lokasi di Indonesia seperti lombok dan Medan. Mereka membayar antara RM2,000 hingga RM2,500 kepada sindiket.
“Perjalanan mereka mengambil masa selama dua malam dengan menggunakan bot nelayan pada kelajuan 8 knot. Jarak Tanjong Balai ke Sungai Besar adalah 60 batu nautika,” katanya pada sidang akhbar, di sini hari ini.
Menurut beliau, sindiket telah mengubah modus operandi beralih daripada bot laju kepada bot nelayan dengan memanfaatkan peningkatan pekerja asing di sektor perikanan.
Tambahnya, sindiket juga menggunakan laluan biasa nelayan bagi mengaburi pihak berkuasa.
“Ketika ditahan, tiga anggota Maritim Malaysia berjaya naik di bot berkenaan namun tekong bertindak agresif enggan menghentikan bot itu dan berlaku pergelutan.
“Tekong juga nekad terjun ke laut bagi melarikan diri namun berjaya ditangkap selain dua awak-awak. Ketiga-tiga mereka juga warga Indonesia berusia 35 hingga 59 tahun,” tegasnya.
Siasatan mendapati tekong itu telah dua bulan bekerja manakala awak-awak baharu enam hari bertugas di bot itu dengan mereka tidak mempunyai dokumen yang sah.
“Kita percaya lokasi pendaratan di jeti nelayan sekitar Sungai Besar dengan wujud rangkaian antara dua sindiket libatkan Indonesia dan negara ini.
“Kita juga telah mengesan pemilik bot itu yang berusia 60 tahun dengan mempunyai enam bot. Kita akan panggil untuk siasatan lanjut sama ada dia turut terlibat,” ujarnya.
Jelas Abdul Muhaimin, kesemua PATI termasuk tekong dan bot telah dibawa ke Jeti Pasukan Polis Marin (PPM) Pulau Indah untuk tindakan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63, Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 serta Akta Perikanan 1985.
“Selain itu, fokus kita pada tahun ini adalah dalang dan ejen sindiket PATI ini, ” katanya. – KOSMO! ONLINE

11 hours ago
3


![[VIDEO] Harimau muncul lagi di Ulu Tembeling, mana pihak berwajib?](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/01/WhatsApp-Image-2026-01-11-at-5.46.39-PM.jpeg)















![[VIDEO] ‘Tinggi Siti melompat, tenaga memang no 1’](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/01/ct.jpeg)






























