2 rakan sekerja maut, kereta terbabas sebelum terbakar

2 hours ago 2

KUALA LUMPUR – Dua rakan sekerja maut selepas kereta dinaiki mereka terbabas sebelum terbakar dalam kemalangan di Jalan Sungai Besi menghala ke Lebuh Raya Kuala Lumpur-Seremban, awal pagi tadi.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd. Zamzuri Mohd. Isa berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 3.01 pagi melibatkan sebuah Honda City Hatchback berwarna kelabu.

Menurut beliau, kereta tersebut dipandu lelaki tempatan berusia 29 tahun bersama seorang penumpang wanita tempatan berusia 23 tahun.

“Kedua-dua mangsa merupakan rakan sekerja dan dipercayai dalam perjalanan pulang ke Ampang selepas menghadiri majlis makan malam melibatkan sebuah syarikat perbankan antarabangsa.

“Siasatan awal mendapati ketika melalui satu selekoh di lokasi kejadian, pemandu dipercayai gagal mengawal kenderaan sebelum terbabas dan melanggar tembok tiang di sebelah kiri jalan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pelanggaran itu menyebabkan kenderaan terbakar sepenuhnya.

“Pasukan Bomba dan Penyelamat Cheras membantu operasi memadam kebakaran serta mengeluarkan mangsa dari kenderaan.

“Pemandu mengalami kecederaan rentung terbakar, manakala penumpang wanita mengalami kecederaan parah di bahagian kepala,” ujarnya.

Katanya, kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh Penolong Pegawai Perubatan Hospital Kuala Lumpur.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Siasatan lanjut masih dijalankan termasuk mendapatkan rakaman televisyen litar tertutup di lokasi kejadian bagi membantu siasatan,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Balai Polis Trafik Tun H.S. Lee di talian 03-2071 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |