PARIS – Perancis dan 14 negara Barat lain menyeru negara-negara seluruh dunia untuk mengiktiraf negara Palestin, kata diplomat tertinggi Perancis hari ini.
Menteri Luar 15 negara lewat semalam mengeluarkan kenyataan bersama susulan persidangan di New York, yang dipengerusikan bersama oleh Perancis dan Arab Saudi. Ia bertujuan memulihkan penyelesaian dua negara antara Israel dan Palestin.
“Di New York, di samping 14 negara lain, Perancis mengeluarkan rayuan kolektif: kami menyatakan hasrat untuk mengiktiraf negara Palestin dan menjemput mereka yang belum melakukannya untuk menyertai kami,” tulis Menteri Luar Perancis Jean-Noel Barrot di platform X.
Presiden Emmanuel Macron mengumumkan minggu lalu bahawa beliau akan mengiktiraf negara Palestin secara rasmi pada September ini sekali gus mencetuskan tentangan kuat daripada Israel dan Amerika Syarikat (AS).
Semalam, Perdana Menteri Britain, Keir Starmer mengumumkan bahawa United Kingdom akan mengiktiraf secara rasmi negara Palestin pada September depan, melainkan Israel mengambil pelbagai ‘langkah substantif’. Ia termasuk bersetuju dengan gencatan senjata di Gaza.
Langkah Starmer dan Paris akan menjadikan dua sekutu Eropah itu negara Kumpulan Tujuh (G7) pertama yang berbuat demikian.
Sementara itu, dalam kenyataan dikeluarkan, 15 negara termasuk Sepanyol, Norway dan Finland mengesahkan komitmen yang tidak berbelah bagi mereka terhadap visi penyelesaian dua negara.
Sembilan daripada penandatangan yang masih belum mengiktiraf negara Palestin menyatakan kesediaan atau pertimbangan positif negara mereka untuk berbuat demikian. Ia termasuk Australia, Kanada dan New Zealand.
Tujuh belas negara serta Kesatuan Eropah dan Liga Arab semasa persidangan itu menyertai gesaan agar Hamas melucutkan senjata dan menamatkan pemerintahannya di Gaza, dalam usaha menamatkan perang di wilayah Palestin itu. – AFP