Wanita dalam pantang dukung bayi redah asap tebal

1 day ago 6

SUNGAI PETANI – Seorang wanita dalam pantang dan bayi lelakinya terselamat selepas rumah mereka terbakar dalam kejadian di Taman Ria Jaya, di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 9 pagi itu, Noor Akma Jamaluddin, 30, mendukung bayinya yang baru berusia 19 hari dan meredah asap tebal untuk menyelamatkan diri.

Menurut Noor Akma yang merupakan suri rumah, ketika kejadian dia sedang bertungku di bilik utama, manakala suaminya, Ammar Azli Azizan, 35, bersama anak sulung mereka, Muhammad Akif Haziq, 7, dan ibu mentua, Salmah Ismail, 60, berada di dapur.

“Ketika baru bertungku selama lima minit, saya terdengar bunyi letupan beberapa kali diikuti bau benda terbakar. Saya terus panggil suami untuk memintanya melihat di bahagian luar dapur rumah.

“Selepas suami buka pintu dapur, saya terdengar dia menjerit rumah sebelah terbakar dan bawa anak keluar cepat. Saya terus merangkul bayi yang sedang tidur dan berlari keluar,” katanya di sini hari ini.

Katanya, sewaktu cuba keluar dari bilik, asap telah memenuhi rumah yang masuk melalui bumbung.

“Dalam keadaan ketakutan, saya menggunakan kain lampin untuk menutup muka bayi dan sebaik berjaya keluar, siling ruang tamu dilihat terbakar dan serpihannya mula jatuh ke lantai.

“Pada masa sama, suami turut mendukung anak sulung kami dan menarik tangan ibu mentua keluar sebelum bahagian dapur rumah mula terbakar,” ceritanya.

Ujarnya, selepas memastikan semua selamat, suaminya masuk semula ke bahagian dapur rumah dan cuba memadam kebakaran menggunakan paip getah.

“Suami saya kemudian menghubungi Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Petani bagi memaklumkan kejadian dan saya bersyukur kerana kami tidak cedera,” ujarnya.

Sementara itu, Ketua Zon 2 Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba II Mohd Naim Mat Jaafar berkata, pihaknya menerima panggilan berkaitan kebakaran itu pada pukul 9.06 pagi.

“Sebanyak dua jentera dari Balai Bomba Sungai Petani dan satu jentera dari Balai Bomba Amanjaya bersama 17 anggota dikejarkan ke lokasi dan mendapati tiga buah rumah jenis kelas A terbakar di bahagian bumbung dan dapur.

“Selepas kerja-kerja pemadaman dijalankan, kita mendapati tiga rumah itu masing-masing terbakar 70 peratus, 30 peratus dan 20 peratus,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |